5 kes, Kluster Alam diisytihar

PUTRAJAYA: Lima kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, 20 Ogos, semuanya melibatkan kes import menjadikan jumlah keseluruhan 9,240 kes

Kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara itu dilaporkan berlaku di Selangor melibatkan warga Bangladesh manakala empat lagi di Sarawak yang melibatkan Kapal LNG Seri Alam.

Sebanyak tujuh kes telah pulih menjadikan 8,932 pesakit sembuh sepenuhnya.

Sementara itu, Kluster Alam diisytiharkan di Sarawak setelah empat daripada kru kapal yang berlabuh di Pelabuhan Bintulu disahkan positif Covif-19.

Kapal tangki minyak yang berdaftar di Pelabuhan Klang itu mempunyai sejarah pelayaran ke Pelabuhan Toyama Shinko, Jepun dari 27 Julai hingga 1 Ogos, sebelum singgah di Pelabuhan Labuan pada 10 Ogos lalu.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, semasa dalam perjalanan ke perairan Bintulu, kapten kapal memaklumkan kepada ejen kapal terdapat dua anak kapal yang sakit dan memerlukan rawatan di hospital. 

Siasatan awal menunjukkan kluster ini berpunca daripada jangkitan luar negara iaitu kemungkinan dibawa oleh kru yang sign on (mendaftar) ke atas kapal semasa singgah di pelabuhan antarabangsa.

Siasatan lanjut ke atas kluster ini masih dilakukan dan pengesanan serta saringan ke atas semua kontak sedang giat dijalankan.

Menurut JPBN, Kluster Pasar Stutong telah diisytiharkan tamat setelah tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari selepas kes terakhir dilaporkan.

Selain Kluster Alam yang baru diisytihar itu, kluster lain yang masih aktif di Sarawak adalah Kluster Syarikat Kejuruteraan, Kluster Mambong, Kluster Sentosa, Kluster PUI Melbourne, Kluster Syarikat Pembinaan Kuching dan Kluster Pasar Satok.

Related posts

Leave a Comment