Menjelang ‘kematian’ Utusan

MENYELAK KEMBALI TULISAN TAHUN 2019

20.08.2019 : Usah sekadar merintih, sembang kosong tanpa ‘sokongan’

MENYELAK surat khabar hari ini, salah satu fokus yang diberi adalah mengenai Utusan Melayu khususnya berkaitan Utusan Malaysia dan Kosmo!. Muka depan New Straits Times, tertera tajuk utama UTUSAN NO MORE? Satu laporan khas dua muka mengisi berita utama itu. Beberapa media lain juga melaporkan mengenai kemelut yang melanda dan didedahkan secara terbuka melalui piket Kesatuan Wartawan Kebangsaan Utusan Melayu (NUJ-UM).

Pelbagai laporan mengenainya dan salah satu yang mendapat reaksi ramai kemungkinan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! ditutup esok (Rabu). Ada laporan mengatakan tiada keluaran pada Khamis. Malangnya tidak ada berita mengenai penutupan akhbar itu di dua media utama yang sedang dibahaskan. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku atau isu itu sekadar ribut di dalam cawan. Lebih tepat hanyalah khabar angin.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa tidak ada laporan itu? Tetapi bagi kebanyakan kakitangan, pengalaman di Utusan, sudah lumrah, sesuatu yang negatif berkaitan produk syarikat tidak akan mendapat tempat atau ruang berita lebih-lebih lagi apabila melibatkan NUJ-UM. Pembaca boleh merujuk akhbar lain untuk mendapat gambaran yang mungkin separuh masak.

Memang dalam sesetengah perkara, ‘tuan tubuh’ boleh melindungi ‘kekotoran’ di bawah karpet tetapi dalam isu ini, saya berpendapat tidak wajar berselindung. Satu penjelasan segera perlu dibuat bgai menjawab isu sebegini. Sedikit sebanyak akan memberi kesan terutama melibatkan iklan (tetapi pengiklan pun tidak ada). Mungkin ini juga satu strategi. Biar kecoh satu Malaya atau dunia bahawa akhbar ‘lama’ di Malaysia akan ditutup.

Dan hasilnya tiba-tiba akan muncul penyelamat yang akan menanggung segala-galanya. Jika benar begitu, syukurlah.

Bukan mudah untuk menutup surat khabar. Tutup itu membawa pelbagai maksud, tutup sementara untuk tempoh tertentu atau tutup media cetak juga untuk sementara waktu. Belum pasti. Tutup pada hari tertentu sudah menjadi lumrah. Akhbar itu ditutup dua hari baru-baru ini sempena hari raya haji ( saya telah ulas pada tulisan lalu di FB). Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Untuk rekod, semua majalah edisi cetak terbitan Utusan Karya telah ditutup. Akhbar Utusan Melayu juga ditutup. Kita tunggu dan lihat.

Apa pun tindakan NUJ itu telah membuka laluan untuk kemelut yang melanda didedahkan secara besar-besaran yang mengundang pelbagai reaksi. Sekurang-kurangnya membuka mata sesetengah pihak untuk berbicara mengenai nasib Utusan terutama pekerja-pekerja yang tidak dibayar gaji serta pampasan bagi kakitangan yang memilih VSS. Andai syarikat dimatikan, pekerja dan bekas pekerja jangan dibiarkan ‘mati tanpa pusara’.

Menghidupkan atau memulihkan syarikat yang sedang tenat bukanlah satu tugas mudah. Ibarat pesakit yang bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Hayatnya akan berakhir (jika ditakdirkan) apabila alat itu dicabut pada bila-bila masa. Namun, usaha perlu diteruskan untuk menyelamatkan Utusan. Gembeling kepakaran untuk membantu memulihkannya. Doa harus diiringi dengan usaha dan ikhtiar. Rasa sedih dan kecewa juga perlu diiringi ikhtiar mengubat perasaan itu.

Utusan tidak boleh dibiarkan tenggelam. Kakitangan dan bekas kakitangan tetap berpegang kepada janji yang dibuat oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (DASF). Beliau sering kali mengungkapkan kata-kata tidak akan menjadi orang yang bertanggungjawab ‘menguburkan’ Utusan. Beberapa kali perjumpaan yang dihadiri sama ada secara berkumpulan bersama kakitangan majalah dan surat khabar atau bersemuka, penegasannya amat jelas. Beliau tidak akan meletakkan nisan ke atas Utusan.

Begitulah azam DASF ketika diberi tanggungjawab oleh UMNO untuk mengemudi Utusan setelah Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO kecundang pada pilihan raya umum lalu. Malahan dalam satu tajuk tanpa berita MHETV hari ini, tertera tajuk “Biar saya mati, namun tak akan saya biarkan Utusan mati. Saya akan teruskan, – Dato Aziz,”

Tidak pasti sama ada itu adalah ikrar terkini atau cerita lama yang pernah diucapkan sebelum ini kerana isi kandungannya tidak dapat dicari. Mungkin komputer saya bermasalah. Tidak apa. Ikrar lama atau baharu, setiap warga Utusan dan mereka yang pernah jatuh bangun bersama Utusan mengharapkan ikrar itu ditunaikan. Cuma bagaimana? Membiarkan beliau seorang tidak tertanggung walaupun sebagai pemegang saham utama.

Strategi atau susun atur yang dirancang memang ada tetapi banyak ‘halangan’. Apakah perlu menanti keajaiban lampu Aladdin yang akan menyelamatkan Utusan ? Mungkin rakan baharu dapat bersama merungkai masalah ini? Pasti ada usaha untuk menyelamatkan maruah Utusan Melayu.

Petang ini khabarnya ada taklimat untuk pekerja. Mungkin di situ, semua pihak mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai Utusan Malaysia dan Kosmo! Diharapkan ada sesuatu yang positif.

Sementara menunggu usaha-usaha menyelamat itu, apakah peranan khalayak yang memberi pelbagai reaksi terhadap laporan kemungkinan ditutup itu? Berapa ramai yang membeli Utusan Malaysia atau Kosmo! hari ini? Kepada pelanggan tetap terima kasih diucapkan. Tetapi yang baharu membeli hari ini untuk mengetahui cerita sebenar jangan pula kecewa kerana tidak ada berita berkaitan ‘penutupan’ akhbar itu.

Teruskan membeli pada hari-hari berikutnya sekiranya masih ada. Tanpa sokongan pembaca, akhbar ini tidak ke mana. Cuba selak satu persatu helaian akhbar Utusan Malaysia atau Kosmo! Hari ini. Mulakan dengan muka 1. Perhatikan berapa iklan yang ada? Hampir tidak ada atau boleh dibilang dengan jari.? Yang ada pula iklan apa? Milik siapa? Memang ‘sakit’ jika keadaan ini berterusan. Tanpa sokongan iklan, sesebuah akhbar tidak akan ke mana.

Justeru kepada mereka yang dalam tempoh 24 jam lalu merintih dengan rasa kecewa, terkejut, sedih dan pelbagai lagi, andai Utusan Malaysia dan Kosmo! terus berada di pasaran, sokonglah dengan membelinya. Jangan semangat berkobar-kobar untuk mempertahankan Utusan tetapi tidak diiringi sokongan sewajarnya. Amat malang jika sekadar membaca apabila dikirimkan salinan oleh kawan atau meminjam atau membaca di kedai kopi yang menyediakan akhbar itu.

Berapa ramai orang Melayu khususnya anggota UMNO yang membeli? Sudah berbuih mulut berkempen. Tidak mengejutkan ada yang mahu berita atau rencana disiarkan tetapi akan telefon bertanya sudah keluar ka belum. Maknanya dia tidak membeli atau tidak membaca akhbar setiap hari. Lebih sedih membeli apabila diberitahu berita atau rencananya sudah disiarkan pada hari berkenaan. Maka kelam kabutlah mencari akhbar itu di merata tempat.

Kempen atau tulisan menggesa orang ramai membeli bukanlah sesuatu yang baharu. Jumlah edaran atau jualan bukannya semakin meningkat tetapi semakin merosot. Ke mana pergi pembacanya? Kadang-kadang terasa lebih baik menulis di FB yang khalayaknya lebih ramai sekali pun tidak ada yang komen atau like. Biarlah syok sendiri melalui FB.

 

Related posts

Leave a Comment