Peguam calon Pejuang di Slim

PEJUANG, parti baharu yang ditubuhkan Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad menamakan seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Amir Khusyairi akan bertanding sebagai calon Bebas memandangkan parti baharu yang namanya diumumkan hari ini masih belum didaftarkan secara rasmi.

Dalam majlis pengumuman calon pada malam ini (12 Ogos), Dr Mahathir turut menyerahkan Watikah Pelantikan kepada peguam itu.

Karier Amir Khushairi sebagai peguam bela, peguam cara dan peguam syariah bermula pada 2007 dan kini mempunyai dua firma guaman di Perak dan Selangor.

Peguam itu juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerap melibatkan diri dalam program kemasyarakatan termasuk memberikan penerangan dan klinik guaman secara percuma.

Antara pemimpin parti tersebut yang hadir termasuklah Ahli Parlimen Merbok,  Mukhriz Mahathir yang sebelum ini ‘dinamakan’ sebagai Presiden Pejuang dan bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Marzuki Yahya.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook turut hadir ke majlis tersebut.

Naib Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub dan bekas Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menghadiri majlis berkenaan.

Related posts

Leave a Comment