Zaidi calon BN PRK DUN Slim

PEMANGKU Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam sidang media di Dewan Rajawali, Felda Residence Trolak, Perak, hari ini.

Mohd Zaidi, 43, berkata, beliau akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan DUN Slim apabila dipilih kelak.

“Saya mohon semua pihak bersama menggembleng tenaga dan usaha membantu kemenangan BN,” katanya ketika berucap selepas pengumuman tersebut.

Sorang usahawan, Mohd Zaidi memiliki ijazah sarjana muda Ilmu Wahyu Islam dan Sains Kemanusiaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) setelah menamatkan pengajian pada 2001.

Mohd Zaidi yang sebelum ini Timbalan Ketua UMNO Bahagian mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan UMNO terutamanya Presiden parti, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Saarani Mohamad yang memilih beliau sebagai calon bagi PRK DUN Slim.

Bapa kepada empat orang anak berumur antara lima hingga 16 tahun itu juga aktif dengan aktiviti luar dan sukarela termasuk menjadi Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi penggal 2014 hingga 2018.

PRK DUN Slim akan diadakan pada 29 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas yang semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bertanding mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), Pas (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu). 

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan calon parti baharu yang ditubuhkannya, Pejuang untuk bertanding di PRK DUN Slim atas tiket Bebas pada malam ini.

Related posts

Leave a Comment