KKM ingatkan jangan sertai perhimpunan haram

PUTRAJAYA 2 April – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan haram.

Ingatan itu selaras Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 30 Jun 2011 yang disiarkan di Facebook KKM.

Unit Integriti kementerian itu menyatakan pembabitan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4 (1) dan 4(2), P.U.(A) 395/1993.

Surat edaran itu dipercayai merujuk ura-ura kumpulan doktor kontrak melakukan mogok pada Isnin hingga Rabu ini dengan menggesa pegawai perubatan itu mengambil cuti perubatan atau cuti kecemasan sebagai protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Kumpulan itu juga memberi amaran terdapat 3,000 doktor kontrak akan meletak jawatan daripada KKM pada hari ini.

Surat edaran atau garis panduan oleh Unit Integriti turut memperincikan bentuk perhimpunan haram yang antaranya bermakna menggunakan masa pejabat atau meninggalkan pejabat untuk melihat dan menyertai perhimpunan.

Bentuk perhimpunan haram itu juga termasuk menggunakan peralatan pejabat seperti mesin cetak, mesin penyalin komputer untuk mencetak atau mengedarkan risalah berkaitan perhimpuan haram.

Related posts

Leave a Comment