9 tan gading gajah dimusnah

SINGAPURA : Sempena Hari Gajah Sedunia hari ini, 12 Ogos 2020, kerajaan Singapura memusnahkan sembilan tan gading gajah bernilai SG$18 juta (RM54 juta), hasil  rampasan terbesar sejak beberapa tahun lalu termasuk yang diseludup.

Gading gajah itu dianggarkan diambil daripada 300 ekor gajah Afrika.

Menurut Lembaga Taman Negara Singapura, operasi memusnahkan gading itu dilakukan menggunakan pemecah batu industri, bermula semalam yang memerlukan masa antara tiga hingga lima hari untuk menghancurkan semua gading yang dirampas antara 2014 dan 2019 itu, sebelum dibakar.

Langkah menghancurkan gading itu bagi mengelakkannya memasuki semula pasaran gelap gading gajah dan pada masa yang sama menyekat rantaian bekalan global perdagangan gading haram,

Kerajaan Singapura juga melancarkan Pusat Forensik bagi mengenal pasti anggota badan haiwan yang mungkin diperdagangkan secara haram.

Dengan menggunakan analisis DNA dan kaedah lain dalam mengkaji anggota badan haiwan, pusat itu boleh menentukan lokasi asal hidupan berkenaan iaitu mekanisme berguna dalam memerangi pemerdagangan haram hidupan liar.

Gading gajah mendapat permintaan ramai kerana boleh digunakan dalam pembuatan sikat, loket dan pelbagai perhiasan eksotik lain.

Penjualan global gading gajah diharamkan sejak 1989 selepas jumlah gajah Afrika berkurangan kepada 600,000 berbanding jutaan menjelang akhir 1980an.

Related posts

Leave a Comment