Harga pelitup muka turun lagi

KERAJAAN bersetuju menurunkan harga siling pelitup muka tiga lapis kepada RM1 seunit, malahan bersedia menurunkan lagi dari semasa ke semasa bagi mengurangkan beban orang ramai, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi. 

Beliau berkata, langkah itu susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak mulai, 1 Ogos lalu.

“Harga tiga lapis pelitup muka akan diturunkan lagi kepada RM1 seunit di peringkat runcit. Maknanya 95 sen di peringkat borong. Usaha ini diharapkan membantu mengurangkan beban orang ramai dan ibu bapa menyediakan pelitup muka buat anak.

“RM1 satu unit tidak akan berakhir di situ sahaja kerana kita akan tengok dan kaji lagi bersama pemegang taruh,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, 11 Ogos 2020.

Nanta menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai rasional kementerian meningkatkan harga maksimum topeng muka tiga lapis daripada 80 sen seunit ke RM1.50 seunit.

Jelasnya, susulan arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka itu, permintaan terhadap pelitup muka di pasaran meningkat dan menyebabkan pengeluaran pelitup muka ditingkatkan sekali gus memberi kesan kepada penurunan harganya.

Related posts

Leave a Comment