NZ 100 hari tanpa jangkitan

SEMALAM, Ahad 9 Ogos 2020, New Zealand mencatatkan 100 hari tanpa sebarang kes baharu Covid-19 dalam masyarakat. Kali terakhir jangkitan dilaporkan pada 1 Mei lalu. Bagaimanapun para pegawai kesihatan memberi amaran bahawa negara itu tidak boleh memandang ringan terhadap situasi itu.

Ini kerana masih terdapat 23 kes aktif di New Zealand dengan kesemuanya dikesan di bahagian sempadan ketika mereka memasuki negara itu dan kes-kes tersebut sedang dirawat di kemudahan pengasingan.

“Mencapai 100 hari tanpa jangkitan dalam masyarakat adalah satu pencapaian yang penting, namun, seperti yang kita ketahui, kita tidak boleh bersikap sambil lewa,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Ashley Bloomfield.

“Kita sudah menyaksikan bagaimana keadaan boleh berubah dengan begitu pantas di luar negara dengan virus itu muncul kembali dan merebak semula ke tempat-tempat di mana ia dapat dikawal sebelum ini, dan kita perlu bersiap sedia untuk menghapuskan dengan segera sebarang kes baharu di New Zealand.”

New Zealand dengan lima juta penduduk, sebelum ini dipuji oleh negara-negara lain kerana berjaya menangani penularan virus korona dengan berkesan sejak ia menutup sempadannya pada 19 Mac.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan negara itu sebagai contoh yang perlu diteladani negara-negara lain kerana “dapat menghapuskan kes jangkitan dalam masyarakat dengan berkesan”.

Sejak pesakit pertama didiagnosis pada Februari lalu, sebanyak 1,219 kes dilaporkan di New Zealand dengan kes jangkitan dalam masyarakat kali terakhir dilaporkan pada 1 Mei.

Melalui facebook kementerian, penduduk diingatkan supaya terus mengamalkan kebersihan tangan, mematuhi etika batuk dan bersin, duduk di rumah jika rasa tidak sihat, menjaga pergerakan dengan aplikasi NZ COVID Tracer dan memastikan bekalan pelitup muka dan hidung di rumah.

Related posts

Leave a Comment