Kes Sivagangga di 3 negeri

MELAKA : Kementerian Kesihatan mengesahkan hanya tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, merekodkan individu positif Covid-19 dari Kluster Sivagangga manakala satu kes positif yang dilaporkan dari kluster sama di Selangor semalam, masih dalam siasatan.

Menteri Kesihatan,  Dr Adham Baba. berkata, dua kes di Perak merupakan kes Influenza-Like Illness (ILI).

“Sehingga semalam, kita dapati Kluster Sivagangga yang bermula di Kedah telah menular ke Kubang Pasu, Padang Terap dan Kulim. Oleh kerana Kubang Pasu berjiran dengan Kuala Sanglang di Perlis, maka Perlis ada kes dan yang terkini ialah Sungai Bakap di Pulau Pinang.

“Kita minta mana-mana individu yang merasakan diri mereka ada kontak dengan Kluster Sivagangga, bermula 13 Julai hingga sekarang untuk tampil ke hadapan, kerana kluster ini melibatkan bukan sahaja pengunjung kedai tersebut, tetapi ada antara mereka merupakan pemandu lori dan mereka balik ke kawasan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis Dua (Delima) di Batu Berendam, di sini, hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sedang berusaha mengawal sepenuhnya penularan wabak COVID-19 melibatkan kluster berkenaan, menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar di kawasan terlibat.

Katanya, pengesanan kontak dan saringan melibatkan seramai mungkin yang mempunyai simpton atau bergejala berkaitan kluster Sivagangga perlu dilakukan, bagi memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan.

Sementara itu, di KANGAR, dua buah sekolah dalam daerah Sanglang ditutup selama tujuh hari bermula Isnin ini (10 Ogos) akibat penularan kes baharu Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri Rozieana Ahmad berkata sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang.

Bagaimanapun, sesi pembelajaran akan dilakukan secara dalam talian agar murid tidak ketinggalan.

Katanya, walaupun Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hun di daerah itu tidak ditutup, ibu bapa yang risau dengan keselamatan anak mereka boleh membuat pilihan untuk tidak menghantar ke sekolah.

Related posts

Leave a Comment