Surau diarah ‘tutup’

SHAH ALAM : Surau Al-Jannah di Seksyen 23 kembali ‘beroperasi’ seperti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila diperintahkan tutup serta merta susulan ada dalam kalangan jemaahnya mempunyai kontak rapat, dengan individu positif Covid-19 berkaitan Kluster Sivagangga.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan memberitahu , turut diarahkan tutup serta merta adalah Sekolah KAFA Al-Jannah, berdekatan surau berkenaan.

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata, buat masa ini, surau tersebut tidak dibenarkan menganjurkan solat Jumaat, solat fardhu dan aktiviti keagamaan lain sebagai langkah pencegahan, bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 kepada penduduk setempat.

Hanya tiga petugas jawatankuasa sahaja dibenarkan untuk memimpin solat fardhu di surau berkenaan dengan memastikan individu terlibat menjalani ujian saringan Covid-19 dan melaporkan keputusannya kepada JAIS.

“Proses sanitasi juga hendaklah dilakukan serta merta di seluruh kawasan surau dan sekolah KAFA tersebut,” katanya.

Katanya, Surau Al-Jannah hanya boleh beroperasi semula selepas dibenarkan oleh pihaknya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat setempat supaya tidak panik, kerana penutupan surau tersebut adalah langkah biasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan menyarankan orang ramai sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard ditetapkan.

(FOTO FB)

Related posts

Leave a Comment