Singapura catat 42 kes baharu

SINGAPURA hari ini, 10 Januari melaporkan 42 kes baharu Covid-19, semuanya kes import yang sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah atau diasingkan sebaik sahaja tiba di Singapura.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), jumlah kes import itu adalah yang paling tinggi dilaporkan di Singapura sejak 23 Mac tahun lalu.

Sebanyak 40 daripada kes baharu tersebut, tidak menunjukkan sebarang gejala.

Dua daripada kes import adalah rakyat Singapura, manakala dua lagi merupakan penduduk tetap yang tiba dari Malaysia dan India.

Kedua-dua warga Singapura itu, seorang lelaki berusia 63 tahun dan seorang wanita berusia 61 tahun adalah kes berkaitan di mana kedua-duanya mengalami gejala bermula 4 Januari bagi lelaki dan 8 Januari bagi wanita tersebut.

Seorang penduduk tetap dan seorang pemegang visa jangka panjang yang tiba dari India juga merupakan kontak kes yang disahkan sebelum ini, iaitu seorang penduduk tetap dikenali sebagai Kes 59068.

Enam kes adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari Austria, India, Nepal dan Emiriyah Arab Bersatu, manakala empat kes adalah pemegang pas kerja dari Filipina dan India.

Lima pembantu rumah asing juga antara 24 kes melibatkan pemegang permit kerja dari Bangladesh, India, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Seorang budak lelaki berusia 11 tahun, pemegang pas lawatan jangka pendek, tiba dari India untuk mengunjungi ibu bapanya – iaitu penduduk tetap – juga antara kes hari ini.

Dua pemegang pas khas, yang merupakan kelasi, tiba menaiki kapal berasingan dari Myanmar dan Indonesia. Kedua-duanya dihantar ke hospital di mana mereka diuji positif Covid-19.

Menurut MoH, keseluruhan kes baharu dalam kalangan masyarakat sudah berkurangan kepada lapan kes pada minggu lalu dari 10 kes dalam minggu sebelum itu.

Sebanyak 25 kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan-kemudahan pengasingan masyarakat menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sudah sembuh adalah 58,636.

Terdapat 60 kes positif Covid-19 yang masih dirawat di hospital, kebanyakan daripada mereka dalam keadaan stabil atau semakin pulih. Satu kes dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Sehingga hari ini, Singapura melaporkan sebanyak 58,907 kes Covid-19 dan 29 kes kematian akibat komplikasi disebabkan jangkitan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment