Bersatu mahu sertai MN

UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN)  sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan Pas dan komponen Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan kepada Kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO & BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.

Dalam kenyataannya, beliau juga memberitahu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah juga menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai MN.

“Hasrat PPBM ini akan diperbincangkan dengan pihak Pas untuk diperhalusi.  Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan Pas memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN,” katanya.

Beliau akan menyerahkan kepada JK Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat PPBM sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara.

Related posts

Leave a Comment