Kembali satu angka

PUTRAJAYA : Kes positif Covid-19 kembali kepada satu angka iaitu lapan, menjadikan jumlah kes positif di negara ini kini 8,964 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia melibatkan tiga kes import iaitu dua warganegara dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

Tiga kes import tersebut adalah dari Kazakhstan (satu kes di Selangor); Indonesia (satu kes di Kedah) dan Filipina (satu kes di Sabah).

Dr Noor Hisham berkata lima kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warga tempatan iaitu di Wilayah Persekutuan (satu kes saringan di sebuah pusat perubatan; Johor (satu kes saringan prapembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang).

 Manakala di Sabah, tiga kes iaitu satu kes saringan rujukan ke hospital di Hospital Queen Elizabeth; satu kes saringan hospital di Hospital Queen Elizabeth; dan satu kes saringan prapembedahan di Hospital Tawau.

Tiada kes dalam kalangan bukan warganegara Malaysia yang dilaporkan dan sehingga kini, terdapat tiga kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, terdapat lima kes pulih Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 8,617 kes (96.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19  kekal sebanyak 124 kes (1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Related posts

Leave a Comment