PM Lee terima dos penggalak

SINGAPURA 17 Sept. – Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerima dos penggalak vaksin Covid-19 di Hospital Besar Singapura (SGH) hari ini selepas hampir lapan bulan mendapatkan dos kedua.

Dos penggalak adalah untuk individu yang mempunyai daya imun sederhana atau lemah, serta mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan penduduk di kemudahan jagaan warga emas.

Dalam satu catatan Facebook, Lee, 69 p, menggalakkan individu lain untuk mengambil dos penggalak jika ia diberikan kepada mereka.

“Kes-kes meningkat dengan pantas. Suntikan dos penggalak akan meningkatkan perlindungan anda terhadap covid19,” kata  Lee.

“Jika anda ditawarkan dos penggalak , sila dapatkannya. Ia akan mengurangkan kemungkinan anda mengalami jangkitan teruk atau memerlukan rawatan ICU.”

Lee selesai menjalani rejimen vaksinasinya menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech pada hujung Januari.

Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi Covid-19 menyarankan individu berusia 60 tahun dan ke atas supaya mengambil dos perangsang vaksin mRNA sekitar enam hingga sembilan bulan setelah mereka selesai menjalani rejimen vaksinasi.

Warga emas yang selesai mengambil dua dos vaksin sekurang-kurangnya enam bulan lalu akan menerima kiriman SMS dengan pautan peribadi untuk membuat temu janji bagi mendapatkan dos ketiga.

Golongan warga emas berisiko mengalami jangkitan Covid-19 yang serius dan mungkin berdepan respons daya imun yang lebih rendah daripada dua dos vaksin yang diterima sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment