Najib dihukum penjara 72 tahun, denda RM210 juta

BEKAS Perdana Menteri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta selepas beliau didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta, atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.

Najib ketika merayu hukuman ringan dari kandang tertuduh melafazkan ‘sumpah laknat’ .

Katanya, sebagai seorang Muslim, meskipun beliau sebelum ini sudah melafazkannya pada peringkat awal perbicaraan kes itu, beliau sekali lagi mengulangi “Wallahi Wabillahi Wattallahi.”

“Saya tidak minta wang RM42 juta itu, saya tidak merancang untuk mendapatkan wang RM42 juta itu dan wang RM42 juta itu juga tidak ditawarkan kepada saya.

“Tidak ada keterangan atau saksi yang menyatakan demikian. Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta itu. Itu sahaja yang ingin saya katakan,” katanya di hadapan Mohd Nazlan. 

Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman pada pukul 6.30 petang, setelah mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan, permohonan pendakwaan untuk hukuman berat dan kenyataan ringkas tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam.

“Saya turut mengambil kira sumbangan tertuduh kepada negara,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan selesai, namun menaikkan jumlah jaminan sebanyak RM1 juta lagi dan mengarahkan ia dikemukakan esok 29 Julai 2020.

Sebelum ini, Najib diikat jamin RM1 juta.

Mahkamah juga memerintahkan bekas perdana menteri itu untuk melapor diri ke balai polis dua kali sebulan.

Najib meninggalkan mahkamah pada 7.34 malam, bersama peguamnya.

Related posts

Leave a Comment