Tiga tempatan, empat import

PUTRAJAYA : Tujuh kes baharu Covid-19 dilaporkan pada hari ini Isnin, 27 Jun menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,904 kes manakala tiada kematian dicatatkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, tiga kes adalah penularan dalam negara melibatkan warganegara Malaysia, empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu tiga warganegara dan seorang bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

Tiada kes penularan di dalam negara di kalangan bukan warganegara yang dilaporkan. Kesemua tiga kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia.

Kes berlaku di Sabah iaitu tiga kes saringan prapembedahan, dua kes dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, dan satu kes dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas.

Satu kes pulih dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 8,601 kes manakala  jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 124 kes.

Sementara itu, Kluster Pedas, Negeri Sembilan dan Melaka diisytiharkan tamat hari ini. Kluster itu melibatkan 326 kes iaitu 14 warganegara dan 312 bukan warganegara dan tiada kematian dilaporkan.

Secara keseluruhan sebanyak 68 kluster sudah tamat tempoh pengawasan dan pemantauan selama 28 hari, dan setakat ini, 23 kluster masih aktif di dalam negara.

Related posts

Leave a Comment