Wabak : Pendekatan Ibnu Sina

LANGKAH pencegahan kesihatan awam yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani wabak Covid-19 menepati kaedah sama yang pernah dilaksanakan oleh tokoh perubatan Islam, Ibnu Sina.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun berada pada zaman yang berbeza, prinsip asas kesihatan awam kekal dan tidak berubah.

“Matlamat paling utama adalah meningkatkan kesihatan, khususnya dalam kalangan penduduk, dengan mengamalkan semua langkah pencegahan yang diperlukan,” katanya menerusi catatan di akaun Facebook miliknya hari ini.

Dr Noor Hisham turut berkongsi petikan sebuah filem pada tahun 1968 yang melakonkan semula watak Ibnu Sina.

Filem itu memaparkan kejadian pada 10 abad yang lalu, ketika Ibnu Sina mendedahkan sifat wabak.

Antara langkah yang disentuh adalah kuarantin, menutup bazar dan guna konsep hantar makanan ke rumah, menjauhkan diri daripada orang yang sakit, menutup masjid dan solat di rumah dan elak berkumpul.

Beliau turut membincangkan perkara tersebut dalam buku tulisannya yang bertajuk The Canon of Medicine (Kanun Perubatan).

Melalui video berdurasi tiga minit enam saat itu, Ibnu Sina yang dilahirkan di Bukhara, Asia Tengah meminta supaya penduduk pada zaman tersebut membasuh tangan menggunakan cuka dan menukar kepada pakaian yang bersih.

Beliau juga hanya menyapa individu lain tanpa bersentuhan dan menegaskan langkah itu perlu dilakukan bagi mengelakkan penyakit berjangkit yang boleh mengakibatkan kematian.

Related posts

Leave a Comment