PRK DUN Slim 29 Ogos

PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N58 Slim, Perak akan diadakan pada 29 Ogos.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, hari penamaan calon pada 15 Ogos,  manakala tarikh mengundi awal 25 Ogos.

Tempoh berkempen selama 14 hari bermula daripada hari perisytiharan calon-calon bertanding sehingga pukul 11.59 malam 28 Ogos.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.


PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 selepas PRU14. PRK yang diadakan sebelum ini ialah di DUN Sungai Kandis, DUN Balakong, DUN Seri Setia, Parlimen Port Dickson, Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Sandakan, Parlimen Tanjung Piai, Parlimen Kimanis dan DUN Chini.

Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2020 yang dikemas kini sehingga 16 Julai lepas akan digunakan yang mengandungi 23,094 pengundi yang terdiri daripada 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal polis dan dua pengundi tidak hadir (PTH) luar negara. 

Related posts

Leave a Comment