Pakai facemask yang sesuai

PEMAKAIAN ALAT PELITUP SEPARUH MUKA (FACEMASK)

PEMAKAIAN alat pelitup separuh muka (facemask) merupakan satu kaedah pencegahan yang penting bagi mengelakkan penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk COVID-19.

Facemask boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti, atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain.

Penggunaan facemask boleh dibahagikan kepada penggunaan bagi tujuan perubatan dan penggunaan bukan perubatan (non-medical):

1. Penggunaan facemask bagi tujuan perubatan:

• Petugas kesihatan perlu menggunakan perlindungan seperti disarankan dalam Guidelines on COVID-19 Management in Malaysia

• Orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan – perlu menggunakan surgical 3 ply mask

• Orang awam golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas (iaitu mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas) dan mereka yang mempunyai latar belakang penyakit-penyakit kronik, terutama di kawasan di mana jangkitan COVID-19 berlaku serta penjarakan sosial sukar diamalkan. Jenis pemakaian facemask yang digalakkan adalah surgical 3 ply.

2. Penggunaan pelitup separuh muka bagi tujuan bukan perubatan adalah disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat-tempat di mana COVID-19 tersebar luas dan penjarakan sosial sukar diamalkan, misalnya:

• Golongan pekerja misalnya, pekerja sosial, juruwang, pelayan serta yang lain-lain;

• Orang awam sihat yang berada tempat awam seperti dalam pengangkutan awam, tempat kerja, kedai runcit dan persekitaran yang sesak.

Untuk pelitup separuh muka bukan perubatan (non-medical masks), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan jenis fabrik atau kain dengan 3 lapisan yang terdiri daripada:

• Lapisan paling dalam yang bersifat menyerap air (hidrofilik), misalnya kapas atau campuran kapas;

• Lapisan paling luar yang diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik), misalnya polipropilena, poliester, atau campurannya. Lapisan ini boleh mengehadkan pencemaran dari luar daripada menembus masuk ke hidung dan mulut pemakai; dan

• Lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.

KKM ingin mengingatkan bahawa pelitup separuh muka bukan perubatan bukanlah satu alat perubatan mahupun alat pelindung diri. Selain itu, pelitup separuh muka bukan perubatan tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua (2) tahun, bagi mereka yang sukar bernafas dan individu yang tidak sedarkan diri, tidak / kurang berupaya, atau tidak dapat menanggalkan pelitup separuh muka tanpa bantuan.

Nasihat KKM adalah, pakailah facemask yang bersesuaian dengan kaedah yang betul. Alat pelitup separuh muka perlu menutupi ruang hidung sehingga dagu. Pemakaian tidak sempurna dengan membiarkan ianya tergantung di leher, di dahi, atau menutupi hanya sebahagian dari hidung dan mulut adalah tidak bertepatan dan membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.

Related posts

Leave a Comment