Pakailah jangan tak pakai

“ADAKAH semua pengunjung di dalam premis ini memakai topeng penutup muka ?” Ya Tidak.

Soalan dan pilihan jawapan itu muncul setelah mengimbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat-Selangor) sebelum memasuki ruang solat surau ketika waktu Asar pada Isnin lalu. Kebetulan sejurus selepas selesai perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin semasa perutusan turut menyentuh sikap masyarakat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau mengingatkan amalan kebiasaan baharu atau new normal mesti diteruskan. Jangan kerana kes Covid-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Pesannya “Pakailah. Jangan tak pakai,”.

Benar ramai yang tidak peduli dengan pelitup muka di tempat awam. Ada yang patuh, ada yang ‘liat’ malahan seolah-olah memandang remeh SOP seperti menulis nama atau mengimbas, memakai pelitup muka atau mask, mengguna hand sanitizer dan membawa sejadah jika ke surau atau masjid.

Lebih malang jika mereka yang kurang sihat seperti batuk, selesema dan bersin tidak memakai mask, sedangkan mereka ‘paling layak’ memakainya.

Berbalik kepada soalan di atas, apa jawapan anda jika soalan itu muncul ketika di surau, memang kelihatan ada yang tidak memakai mask. Menjawab Ya akan mendedahkan situasi sebenar di surau. Menjawab Tidak, anda tidak jujur, berbohong di surau.

Ada lagi soalan lain setiap kali imbasan dibuat seperti Adakah orang di hadapan anda memakai sanitizer; Adakah orang di hadapan anda memakai facemask dengan betul; Berapa orang yang anda perhatikan tidak bertopeng muka di sini; Adakah premis ini menyediakan sanitizer dan beberapa soalan lain.

Berdasarkan soalan-soalan itu, jelaslah, pihak berkuasa mahu kita menjadi mata dan telinga kerajaan. Jawablah secara jujur dan ikhlas supaya ia dapat membantu pihak berkuasa mengambil langkah untuk ‘memaksa’ masyarakat lebih sedar bagi mematuhi SOP kearah mengelak penularan wabak.

Istilah ‘memaksa’ kerana sikap tidak peduli. Ada pilih kasih memakai mask. Jika di pusat beli-belah sanggup patuh pelbagai SOP tetapi di tempat tertentu, contoh di masjid, surau, restoran ada yang tidak peduli walaupun mask disediakan dengan memberi sedikit sumbangan kepada tabung yang disediakan.

Semuanya kerana penguatkuasaan. Pengawal di pusat membeli-belah lebih tegas memastikan SOP dipatuhi tetapi di sesetengah lokasi seperti surau, masjid, restoran, kedai runcit dan premis lain, sudah agak longgar. Semuanya bergantung kepada pemilik premis. Ada yang jika ditegur, akan timbul ‘masalah’ disebabkan sikap.

Justeru penguatkuasaan hanyalah alat tetapi kesedaran sendiri itu amat penting. Sedar bukan hanya untuk menjaga diri sendiri, kita jaga kita tetapi menjaga orang lain. Adalah tidak adil, di lokasi atau premis yang sama, ada yang patuh SOP dan ada pula yang tidak ambil peduli.

Kenapa sukar untuk mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka? Adakah sekeping pelitup muka itu lebih mahal daripada sekeping roti canai, secawan teh tarik atau sekotak rokok yang mungkin lebih memudaratkan? Bukankah mencegah itu lebih baik daripada berubat? Jangan terlalu berkira dengan mask ini.

Benar pelitup muka belum menjamin terhindar jangkitan tetapi sekurang-kurangnya kita telah berikhtiar.

Diharapkan timbul kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mematuhi SOP. Pelbagai pihak boleh mainkan peranan. Contohnya di masjid dan surau setiap kuliah agama boleh diselitkan dengan satu dua minit ingatan untuk menjaga diri dalam menghadapi Covid-19 kerana masyarakat kita sering lupa dan selesa.

Muhyiddin sudah memberi isyarat berhubung SOP ini – mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam.

Sebelum lebih ketat penguatkuasaannya, hargailah apa yang sedang kita nikmati. Kita mahu berjaya memerangi wabak ini, memutuskan rantaian. Cukuplah lebih tiga bulan kita berkurung kerana Covid-19. Kejayaan kita memerangi Covid-19 dalam fasa pemulihan ini bergantung kepada diri sendiri – kesedaran kita, sikap kita dan amalan kita.

Related posts

Leave a Comment