Thailand sambung darurat

THAILAND melaporkan enam kes baharu Covid-19, kesemuanya melibatkan warganegara itu yang dikuarantin 14 hari selepas mereka tiba dari Mesir, Jerman dan Amerika Syarikat (AS).

Empat pelajar lelaki yang tiba dari Mesir pada 8 Julai menaiki pesawat yang sama yang melibatkan 11 kes lain yang disahkan positif

Wanita berusia 57 tahun yang pulang dari Jerman tiba di Bangkok pada 16 Julai dan disahkan positif pada Isnin. Seorang lagi wanita, 36 tiba dari Amerika Syarikat pada 10 Julai dan disahkan positif pada Isnin.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweeslip Wissanuyothin berkata, jumlah keseluruhan kes kini 3,261 dengan jumlah kematian kekal 58 kes.

Daripada 3,261 kes itu, sebanyak 3,105 pesakit sembuh manakala 98 lagi sedang menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, Thailand akan menyambung perintah darurat negara itu untuk tempoh sebulan lagi sehingga hujung Ogos.

INDONESIA mencatatkan 139 lagi kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam, angka tertinggi setakat ini, sejak kes kematian pertama dilaporkan pada 11 Mac.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam 21 Julai sehingga 12 tengah hari ini, kes positif meningkat kepada 91,751 kes iaitu tambahan 1,882 kes baharu.

Jumlah keseluruhan kematian  meningkat kepada 4,459 orang manakala sebanyak 44,222 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Jawa Timur mencatatkan kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,496 orang, Jakarta (751), Jawa Tengah (444), Sulawesi Selatan (287) dan selebihnya di wilayah lain.

Provinsi Jawa Timur juga mencatatkan jumlah kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 19,903 kes, diikuti Jakarta (17,621 kes) dan selebihnya di 32 wilayah lain.

SINGAPURA melaporkan 310 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan tujuh kes dalam komuniti.

Menurut data ringkas Kementerian Kesihatan (MOH), daripada tujuh kes dalam komuniti, tiga melibatkan rakyat Singapura atau pemastautin tetap dan empat pemegang pas kerja.

Terdapat enam kes dari luar yang diberikan Notis Duduk Dirumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.Majoriti kes masih pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dengan perkembangan  ini, jumlah kumulatif jangkitan mencecah 48,744.

Setakat ini, kira-kira 92 peratus daripada 48,434 jumlah kes semalam sudah pulih sepenuhnya manakala 170 masih di hospital, kebanyakannya stabil.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Coviid-19.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang hari ini, 22 Julai 2020,, melaporkan 1,594 kes yang disahkan berdasarkan jumlah ujian yang dilakukan oleh 78 makmal operasi semasa. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 72,269 kes.

Jabatan Kesihatan juga mengumumkan 342 kes sembuh yang membawa jumlah keseluruhan pemulihan 23,623.

Enam kematian dilaporkan menjadikan jumlah pesakit yang meninggal dunia sebanyak 1,843.

Related posts

Leave a Comment