127 kematian harian tertinggi

INDONESIA mencatatkan 1,639 kes positif baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 86,521 kes.

Sebanyak 127 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, tertinggi sejak kematian pertama pada 11 Mac, menjadikan jumlah korban setakat ini 4,143 orang.

Daripada 127 kematian dalam tempoh 24 jam lepas itu, sebanyak 52 kes berlaku di Jawa Timur, 23 di Jawa Tengah, sembilan di Jakarta dan selebihnya di wilayah lain.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkaitan Covid-19, Achmad Yurianto, berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 37,505 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 1,401 kes diikuti Jakarta (736 kes), Jawa Tengah (323), Sulawesi Selatan (279) dan selebihnya wilayah lain.

Jawa Timur mencatatkan jumlah kes keseluruhan tertinggi iaitu 18,308 diikuti Jakarta (16,538) dan selebihnya di wilayah lain.

SINGAPURA merekodkan 257 lagi kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan lapan melibatkan kes dalam komuniti iaitu dua adalah warga Singapura atau penduduk tetap, dan enam pemegang pas kerja.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), terdapat lima kes import yang diletakkan di bawah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura.

Bagi kes hari ini, 19 Julai sebahagian besarnya adalah pekerja asing yang tinggal di asrama. Dengan perkembangan terbaru itu, jumlah keseluruhan jangkitan adalah 47,912 kes.

Secara keseluruhan, 43,833 atau kira-kira 92 peratus kes telah pulih dan 169 kes masih dirawat, dengan kebanyakannya dalam keadaan stabil atau bertambah baik dan tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sebanyak 3,626 pesakit yang bergejala atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif jangkitan Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang hari ini, 19 Julai 2020, merekodkan 2,241 kes yang disahkan positif Covid-19 berdasarkan hasil ujian yang dilakukan oleh 74 daripada 84 makmal. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 meningkat kepada 67,456.

Menurut Jabatan Kesihatan (DOH), sebanyak 58 kematian direkodkan menjadikan 1,831 kematian.

Sebanyak 398 kes sembuh juga dilaporkan yang membawa jumlah keseluruhan kes pulih meningkat kepada 22,465.

THAILAND memasuki hari ke-55 tanpa jangkitan tempatan tetapi melaporkan tiga kes baharu Covid-19, kesemuanya  melibatkan warganegara itu yang kembali dari luar negara. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes 3,249.

Jumlah kematian pula kekal 58 setelah tiada kematian baharu.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata pesakit baharu itu terdiri daripada dua lelaki  berusia 43 dan 64 tahun yang kembali dari Singapura dan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun yang pulang dari Sudan.

Semua pesakit baharu itu menjalani kuarantin di kemudahan yang disediakan kerajaan.  Mereka tidak mempunyai hubungan dengan orang awam sejurus ketibaan mereka.

Setakat ini, sejumlah 3,096 pesakit sudah pulih dan didiscaj daripada hospital sementara  baki 95 orang masih lagi berada di wad.

Related posts

Leave a Comment