“Kami tidak meminta bulan bintang”

NEW YORK: “Kami tidak meminta bulan bintang…” Itu rayuan seorang pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memperbaharui gesaan untuk gencatan senjata kemanusiaan di Gaza.

Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths berkata, pertempuran perlu dihentikan bagi membolehkan orang awam bergerak dengan selamat dan bantuan sampai kepada 2.2 juta orang yang terperangkap dalam konflik berdarah antara Israel dan Palestin.

“Keperluan dari sudut kemanusiaan adalah mudah. Hentikan pertempuran untuk membolehkan orang awam bergerak dengan selamat.

“Kami tidak meminta bulan bintang… kami hanya meminta langkah asas yang diperlukan untuk memenuhi keperluan penting penduduk awam dan membendung perjalanan krisis ini,” katanya dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB.

Griffiths juga menggesa semua tebusan yang ditahan di Gaza dibebaskan tanpa syarat.

Menurut pegawai Israel, kira-kira 1,200 orang kebanyakannya orang awam terbunuh  ketika serangan rentas sempadan 7 Oktober oleh Hamas manakala kira-kira 240 dijadikan tebusan.

Sementara di Gaza, pegawai di wilayah kendalian Hamas memberitahu 12,000 orang, juga kebanyakannya orang awam, telah terbunuh, dalam kempen Israel tanpa henti.

Griffiths dalam rayuannya berkata: Beri orang Gaza berehat daripada perkara yang mengerikan dan menakutkan yang dikenakan kepada mereka beberapa minggu kebelakangan ini,”.

Seruan itu dibuat beberapa hari selepas Majlis Keselamatan PBB menggesa “jeda kemanusiaan berpanjangan” di Semenanjung Gaza, kali pertama ia memecah kesunyian sejak permulaan perang.

Griffiths menggesa membuka lebih banyak lintasan sempadan ke Gaza, terutamanya pusat pemeriksaan Kerem Shalom, yang bertanggungjawab untuk 60 peratus barangan masuk ke wilayah yang dikepung sebelum permulaan perang.

Pada masa ini, hanya lintasan sempadan Rafah dengan Mesir dibuka.

Griffiths berkata bahan api adalah penting untuk mengagihkan bantuan kemanusiaan dan “memastikan orang hidup.”

Beliau juga menyeru akses lebih baik untuk organisasi kemanusiaan yang beroperasi di Gaza dan membenarkan orang awam berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Sambutan kemanusiaan itu akan menelan belanja dianggarkan AS$1.2 bilion (RM5.6 bilion), yang mana hanya AS$132 juta (RM616.7 juta) diterima setakat ini, katanya.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, juga menggesa gencatan senjata “atas alasan kemanusiaan dan hak asasi manusia, dan menamatkan pertempuran.”

“Bukan sahaja untuk menghantar makanan yang diperlukan segera dan menyediakan bantuan kemanusiaan yang bermakna, tetapi juga untuk mewujudkan ruang untuk jalan keluar dari kengerian ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment