92 % kes di Singapura sembuh

INDONESIA terus mencatatkan peningkatan kes apabila 1,752 lagi kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes 84,882.

Dalam tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 18 Julai sebanyak 59 lagi kematian berlaku menjadikan jumlah korban  4,016 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkaitan Covid-19, Achmad Yurianto, berkata sebanyak 37,593 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,349 kes diikuti Jakarta (727 kes), Jawa Tengah (300), Sulawesi Selatan (270) dan selebihnya wilayah lain.

SINGAPURA merekodkan 202 lagi kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan tujuh kes dalam komuniti, lima daripadanya ialah warganegara Singapura atau penduduk tetap manakala dua lagi pemegang pas kerja.

Menurut Kementerian Kesihatan, lapan kes merupakan kes import melibatkan mereka yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Jumlah yang dijangkiti Covid-19 di republik ini kini sebanyak 47,655.

Secara keseluruhan, 43,577 atau kira-kira 92 peratus kes sembuh sepenuhnya dan setakat tengah hari semalam, terdapat 165 kes masih dirawat di hospital, dengan kebanyakannya stabil atau semakin pulih, dan tiada pesakit di unit rawatan rapi.

Sebanyak 3,684 pesakit yang bergejala atau sihat dari segi klinikal tetapi diuji positif telah diasingkan dan ditempatkan di kemudahan komuniti.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang hari ini, 18 Julai 2020, melaporkan 2,357 kes yang disah berdasarkan ujian yang dilakukan oleh 76 daripada 84 makmal operasi semasa. Ini menjadikan jumlah kes Covid-19 setakat ini 65,304.

Menurut Jabatan Kesihatan (DOH), sebanyak 113 kematian dilaporkan menjadikan jumlah korban Covid-19 meningkat kepada 1,773.

DOH juga mengumumkan 321 pesakit pulih dan ini membawa jumlah keseluruhan pemulihan 22,067. Kes aktif pula 41,464.

THAILAND merekodkan tujuh kes baharu Covid-19, semuanya melibatkan mereka yang dikuarantin sebaik sahaja tiba dari kuar negara. Ini menjadikan jumlah kes jangkitan meningkat kepada 3,246.

Untuk rekod, tiada kes penularan tempatan dilaporkan dalam tempoh 54 hari.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Taweesilp Visanuyothin, memberitahu, kes baharu melibatkan dua orang yang baru pulang dari Amerika Syarikat (AS), seorang dari Bahrain dan empat dari Mesir.

Sebanyak 3,096 kes dilaporkan pulih manakala 92 orang masih dirawat di hospital. Jumlah kematian pula kekal 58.

Related posts

Leave a Comment