47.4% banduan akhir Melayu

DEWAN Rakyat diberitahu, statistik Jabatan Penjara Malaysia, sehingga 30 Jun 2020 menunjukkan seramai 1,314 orang banduan – 1,182 lelaki dan 132 wanita dijatuhi hukuman mati di mana 775 banduan akhir itu adalah warganegara Malaysia, selebihnya 539 banduan warganegara asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan memberitahu, sebanyak 368 atau 47.4% merupakan banduan Melayu, 198 atau 25.6% India, 22.3% atau 173 orang Cina dan selebihnya 36 orang atau 4.7% terdiri daripada lain-lain kaum.

Beliau menjawab soalan P. Kasthuriraani (DAP Batu Kawan) yang dikemukakan pada Isnin lalu dan dijawab secara lisan.

Menurut Takiyuddin, daripada  775  banduan warganegara Malaysia yang dijatuhi  hukuman mati, 61% atau 476 orang telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234]; 36% atau 279 orang melakukan kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebanyak 1.9% atau 15 orang melakukan kesalahan di bawah seksyen 3 dan 7 Akta Senjata 1960 [Akta 206]; dan 0.4% atau empat orang disabitkan di bawah seksyen 3 Akta Culik [Akta 365]; dan 0.3% atau dua orang disabitkan di bawah seksyen 396 Kanun Keseksaan.

Mengenai banduan warganegara asing, daripada 539 orang banduan yang dijatuhi hukuman mati, 83.3% atau 449 orang disabitkan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, 14.7% atau 79 orang banduan yang disabitkan bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan selebihnya seramai 11 orang atau 2% disabitkan di bawah lain-lain kesalahan.

Dalam hal ini, banduan Nigeria mendahului dengan 111 orang,  Iran 89 orang dan 80 Indonesia dengan semuanya disabitkan kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,

Sebanyak 23 banduan disabitkan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan

masing-masing seorang banduan dihukum di bawah seksyen 3 dan 7 Akta Senjata 1960 dan 2 orang banduan di bawah seksyen 3 Akta Culik.

Mengenai umur, secara umumnya 42.8% atau 562 orang berumur 31 hingga 40 tahun, 25.9% atau 340 orang berumur 41 hingga 50 tahun dan 22.5% atau 296 orang berumur 20 hingga 30 tahun. Selebihnya sebanyak 8.8% atau 116 orang  berumur 50 tahun dan ke atas.

Mengenai cadangan untuk memansuhkan hukuman gantung mandatori, Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Khas yang dilantik bagi tempoh tempoh empat bulan bermula 20 September 2019 hingga 31 Januari 2020.

Laporan akhir ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk sebarang ketetapan dasar Kerajaan berkaitan perkara ini.

Related posts

Leave a Comment