Susunan tempat duduk

PENJARAKAN sosial turut mempengaruhi susunan tempat duduk anggota Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bermula hari ini, 13 Julai 2020.

Turut menyaksikan perubahan tempat duduk adalah bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad serta bekas anggota Bersatu.

Mereka adalah Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah.  

Lima Ahli Parlimen itu berada di blok Bebas iaitu di kedudukan hadapan, di bahagian sebelah kiri Yang Dipertua Dewan Rakyat dan bersebelahan penyokong kerajaan. 

Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), susunan tempat duduk juga dilakukan dengan mengambil kira penjarakan sosial.

Pada 29 Mei lepas, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hamzah Zainuddin berkata Dr Mahathir yang ketika itu pengerusi Bersatu dan empat lagi Ahli Parlimen Bersatu  terhenti keahlian mereka kerana melanggar perlembagaan parti.

Hamzah berkata keahlian Dr Mahathir dan empat lagi ahli terhenti serta merta selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen pada 18 Mei lepas.

Menurut kenyataan bersama dengan lima Ahli Parlimen iaitu Mukhriz, Syed Saddiq, Dr Maszlee, Amiruddin dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading), Dr Mahathir pada 10 Julai menegaskan mereka tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof pada permulaan persidangan memaklumkan bahawa hanya 174 Ahli Parlimen ditempatkan di dalam dewan setelah mengambil kira penjarakan tempat duduk sejauh satu meter dari bahu ke bahu dengan sebahagian penyokong kerajaan dan ahli Bebas ditempatkan di Galeri Awam.

Sebahagian ahli Parlimen pembangkang pula ditempatkan di tempat duduk pegawai di sebelah kiri Yang Dipertua dewan

Related posts

Leave a Comment