Azhar, Azalina kendali Parlimen

DALAM suasana kecoh, bagaikan ‘pasar’, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10 mulai hari ini, 13 Julai 2020.

Azhar, 58,  merupakan calon tunggal yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu menyebabkan pembangkang membantah dan mahu mereka diberi peluang untuk mengemukakan calon.

Sebaik sahaja mempengerusikan persidangan itu, suasana bising dengan anggota pembangkang tidak mempedulikan ucapan dan ikrar Azhar. Akhirnya Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga pagi esok.

Sebelum itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengusulkan pencalonan Azhar mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Tiada undi diadakan memandangkan hanya satu nama dicadangkan.

“Saya mohon mencadangkan bahawa Yang Berbahagia Datuk Azhar Azizan @ Harun dipilih menjadi Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih,” kata Muhyiddin.

Azhar sebelum ini dilantik sebagai pengerusi SPR pada 21 Sept 2018 menggantikan Mohd Hashim Abdullah.

Beliau meletakkan jawatan pengerusi SPR pada 29 Jun lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said dimasyhurkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Azalina, 57, yang merupakan wanita pertama memegang jawatan itu adalah bagi menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mengusulkan supaya Azalina dipilih menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. 

“Saya mohon mencadangkan bahawa Yang Berhormat Datuk Seri Azalina binti Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang dipilih menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih,” menurut usul tersebut.

Berkelulusan Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics dan Diploma Undang-Undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azalina, anak jati Johor berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes tuntutan sivil melibatkan isu perbankan korporat dan komersial.

Related posts

Leave a Comment