7 kes, satu ‘kluster Rusia‘

PUTRAJAYA: Tujuh kes baharu positif Covid-19 termasuk enam import serta satu kluster baharu dilaporkan hari ini, 13 Julai 2020, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,725 dan kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu adalah 83 kes.

Enam kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua orang warga Malaysia dan empat bukan warganegara (pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja).

Satu kes penularan di dalam negara pula adalah warga Malaysia iaitu kes daripada Kluster PUI (individu dalam siasatan) Novgorod.

Dalam satu kenyataan, Dr Noor Hisham berkata satu kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang berkenaan adalah sebanyak 8,520 kes iaitu 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau juga berkata tiada pertambahan kes kematian menjadikan jumlah kumulatif kes kekal 122 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, terdapat empat kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai kluster Novgorod’ sempena bandar bersejarah Novgorod di Rusia, beliau berkata  terdapat kes ketiga dikesan hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua daripada kluster itu.

Kes pertama merupakan seorang warga Malaysia iaitu kes ke-8,673 yang  pulang ke Malaysia dari Rusia pada 5 Julai, tahun ini.

Keputusan saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa didapati positif dan beliau kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Kes kedua iaitu kes ke-8,718 merupakan rakan kepada kes ke-8,673. Mereka menaiki pesawat yang sama. Keputusan saringan bagi kes ke-8,718 di pintu masuk antarabangsa didapati negatif.

Namun beliau mula mengalami gejala demam dan gejala saluran pernafasan pada 7 Julai dan saringan ulangan didapati positif Covid-19.

Kes ketiga melibatkan bapa kepada kes ke-8,718. Ketibaan beliau (kes ke-8,718) di Malaysia pada 6 Julai telah disambut oleh empat anggota keluarga menaiki kereta sendiri untuk menjemput beliau di pintu masuk antarabangsa.

Hasil siasatan mendapati bapa kepada kes itu turut dikesan positif Covid-19 selepas beliau (kes ke-8724) mula mengalami gejala demam. Ini menjadikan beliau kes ketiga Kluster PUI Novgorod.

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, 14 orang kontak rapat telah dikenal pasti dalam kluster itu dan kesemua mereka telah disaring dan dikesan negatif COVID-19.

Related posts

Leave a Comment