Hari ke-49 Thailand tanpa kes tempatan, tiga kes import

INDONESIA setakat 12 tengah hari, 13 Julai merekodkan 1,282 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 76,981 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata dalam tempoh sama, 50 lagi kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 3,656 orang.

Sebanyak 13,439 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Kes positif tertinggi direkodkan di Jawa Timur yang mencatatkan 16,877 kes, diikuti Jakarta (14,797 kes) dan selebihnya di 32 wilayah lain.

Jawa Timur turut merekodkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,226 kes, diikuti Jakarta (697 kes), Jawa Tengah (240), Sulawesi Selatan (226) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain.

THAILAND melaporkan tiga lagi kes import baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 3,220. Tiada kes penularan tempatan dalam tempoh 49 hari.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) melaporkan angka korban kekal 58 manakala kes sembuh sebanyak 3,090 dan 72 lagi masih dirawat.

Kes baharu melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang kembali dari Kuwait pada 29 Jun, menaiki penerbangan sama dengan 10 orang yang turut disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Kes kedua membabitkan pesakit dalam siasatan (PUI), seorang wanita Thailand, yang tiba dari Bahrain manakala kes ketiga melibatkan seorang tentera Mesir, yang berlepas dari Kaherah pada 7 Julai dan mengunjungi Emiriyah Arab Bersatu (UAE) serta Pakistan sebelum tiba di Lapangan Terbang U-Tapao Rayong pada 8 Julai.

Beliau turut mengunjungi China untuk misi ketenteraan pada 9 Julai sebelum kembali ke Thailand pada hari yang sama.

SINGAPURA mengesahkan 322 lagi kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas. Dengan perkembangan ini, jumlah kumulatif jangkitan di republik itu mencecah 46,283 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), majoriti kes terdiri daripada pemegang pas kerja yang tinggal di asrama. Terdapat 11 kes dalam komuniti terdiri daripada dua warga tempatan dan sembilan pemegang pas kerja.

MOH juga berkata terdapat lima kes import yang diletakkan di bawah Notis Duduk Dirumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura.

Angka kes yang lebih tinggi hari ini adalah kerana kurang ujian oleh makmal ujian Covid-19 semasa cuti umum dan hujung minggu pada 10 dan 11 Julai, dengan tunggakan sampel sedang diproses sejak 12 Julai.

Setakat 12 tengah hari semalam, 42,285 atau kira-kira 92 peratus daripada pesakit sudah pulih sepenuhnya manakala 182 kes disahkan masih lagi berada di hospital dengan seorang ditempatkan di unit rawatan rapi.

FILIPINA sehingga pukul 4: petang hari ini, 13 Julai 2020, melaporkan 836 kes positif berdasarkan jumlah ujian yang dilakukan oleh 57 daripada 82 makmal operasi semasa yang membawa jumlah keseluruhan 57,006 kes.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga mengumumkan 4,325 kes pemulihan yang membawa jumlah keseluruhan pemulihan kepada 20,371.

Sebanyak 65 kematian dilaporkan di mana sembilan (14 %) pada Julai, 54 (83 %) pada Jun, dan dua (3 %) pada Mei. Jumlah kes yang dilaporkan mungkin tertakluk kepada perubahan kerana angka ini menjalani pembersihan dan pengesahan berterusan.

Related posts

Leave a Comment