3 golongan dapat vaksin penggalak

SINGAPURA 4 Sept. – Singapura akan memberi suntikan perangsang vaksin Covid-19 kepada tiga golongan selepas enam hingga sembilan bulan lengkap menjalani rejimen vaksinasi pertama mereka.

Ini bagi “memastikan tahap perlindungan yang lebih tinggi daripada jangkitan dan tahap perlindungan yang berterusan terhadap penyakit yang teruk, serta mengurangkan kemungkinan lonjakan jangkitan dan lebih ramai orang sakit teruk

Golongan berkenaan adalah individu kurang daya tahan jangkitan (immunocompromised) tahap sederhana hingga teruk, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta penghuni di kemudahan jagaan warga senja.

Pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian Gan Kim Yong berkata, Kementerian Kesihatan (MoH) dan Jawatankuasa Pakar Mengenai Vaksinasi Covid-19 telah menilai perlunya suntikan dos ketiga.

Katanya, jawatankuasa pakar telah menyarankan, dan MOH bersetuju, untuk memulakan program suntikan dos ketiga bagi kumpulan penduduk itu.

Warga emas berisiko menghidap jangkitan Covid-19 yang teruk dan mungkin mengalami tindak balas daya tahan yang lebih rendah daripada rejimen vaksinasi dua dos mereka.

Daya tahan mereka juga dijangka semakin merosot dari semasa ke semasa, kerana ramai menjalani suntikan vaksin lebih awal.

Golongan ini layak mendapat dos ketiga bulan ini setelah kumpulan pertama warga emas berusia 60 tahun dan ke atas melengkapkan dos kedua suntikan pada Mac lalu di bawah program vaksinasi nasional.

Menurut MoH, mereka yang ada masalah imuniti mempunyai “tindak balas daya tahan lebih rendah” terhadap vaksinasi, dan juga berisiko lebih tinggi menghidap penyakit lebih teruk akibat Covid-19.

Individu-individu ini disaran menerima dos ketiga vaksin mRNA yang sama dua bulan setelah dos kedua rejimen vaksinasi utama mereka untuk memastikan mereka mempunyai tindak balas imun pelindung yang mencukupi terhadap vaksinasi.

Individu yang kurang daya tahan jangkitan ini akan dihubungi oleh doktor mereka.

Related posts

Leave a Comment