Thailand catat 14 kes import

INDONESIA merekodkan 1,671 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 74,018 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata, sebanyak 66 kematian dilaporkan dalam tempoh sama, menjadikan angka kematian keseluruhan terkini adalah 3,535 orang.

Sebanyak 13,752 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.
Jawa Timur merekodkan kes positif dan kematian tertinggi iaitu 16,140 kes dengan 1,188 kematian manakala Jakarta 14,113 kes dan 681 kematian.

THAILAND merekodkan 14 kes baharu yang kesemuanya melibatkan mereka yang dikuarantin selepas kembali dari luar negara. Ini bermakna, selama 47 hari tiada kes penularan tempatan dilaporkan manakala jumlah keseluruhan kes kini adalah 3,216.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), daripada 14 kes itu, ia turut melibatkan kanak-kanak berusia 9 tahun yang membuat perjalanan bersama keluarganya.

Mereka termasuk pelajar dan yang bekerja di luar negara pulang dari Bahrain, Amerika Syarikat dan Sudan.

Sementara itu, 3,088 kes telah pulih termasuk seorang hari ini, manakala 70 masih dirawat. Jumlah kematian pula kekal 58.

FILIPINA setakat pukul 4 petang ini 11 Julai 2020, merekodkan 1,387 kes yang meliputi 918 kes terkini dan 469 kes lewat menjadikan jumlah keseluruhan kes  meningkat kepada 54,222.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga memberitahu, sebanyak 12 lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah 1,372 kes.

Di samping itu, 807 kes pesakit sembuh dilaporkan yang membawa jumlah keseluruhan pemulihan kini 14,037 sementara kes aktif pula 38,813.

SINGAPURA melaporkan 170 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, yang membawa jumlah  kumulatif jangkitan mencecah 45,783 kes .

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), daripada 24 kes itu, tujuh adalah warga tempatan atau pemastautin tetap dan 17 pemegang pas kerja.

Terdapat satu kes import yang diberikan Notis Duduk Dirumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura. Majoriti kes masih dalam kalangan pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing. 

Setakat 12 tengah hari semalam, 41,780 atau kira-kira 92 peratus daripada pesakit, pulih sepenuhnya. Sebanyak 203 kes disahkan masih berada di hospital semalam, dengan seorang dirawat di unit rawatan rapi. Jumlah kematian kekal 26 orang.

Related posts

Leave a Comment