Tambang ERL naik mulai 1 Januari 2027

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Mulai 1 Januari 2027, kadar tambang KLIA Ekspres dan KLIA Transit bagi penumpang dewasa antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang akan dinaikkan sebanyak RM10.

Menurut Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) tambang standard sehala bagi penumpang dewasa antara KL Sentral dan KLIA (Terminal 1 dan Terminal 2) akan dinaikkan daripada RM55 kepada RM65.

Manakala tambang bagi semua sektor lain turut diselaraskan sewajarnya.

“Pelarasan itu dibuat selepas 11 tahun. Kali terakhir tambang diselaraskan pada 2016 susulan peningkatan ketara kos operasi dan penyelenggaraan,” menurut ERL dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, pelarasan tambang itu adalah selaras dengan Perjanjian Konsesi ERL dengan kerajaan.

“Langkah itu akan menyokong usaha berterusan ERL untuk mengekalkan serta menyediakan perkhidmatan rel yang boleh dipercayai, cekap dan berkualiti kepada penumpang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Datin Noormah Mohd Noor berkata pelarasan itu mencerminkan realiti kos operasi dan penyelenggaraan perkhidmatan rel lapangan terbang berkualiti tinggi.

Ia juga memastikan ERL terus berada pada kedudukan kukuh untuk memenuhi keperluan penumpang dalam jangka panjang.

“Pelarasan tambang ini akan menyokong usaha kami untuk mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi serta melabur dalam penambahbaikan bagi meningkatkan pengalaman penumpang.

“Ia selaras dengan komitmen kami menyediakan hubungan paling pantas dan boleh dipercayai antara KL Sentral dan KLIA,” katanya.

Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, ERL sedang bekerjasama dengan pelbagai rakan strategik untuk menawarkan diskaun tiket eksklusif hingga 30 peratus mulai Januari 2027.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Pertanyaan Pelanggan di talian 03-2267 8000 atau melayari www.KLIAekspres.com untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tambang baharu bagi semua produk dan perkhidmatan ERL.

Related posts

Leave a Comment