PAP kekal perintah Singapura

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong kekal memerintah Singapura setelah memenangi 83 daripada 93 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semalam.

Pesaing terdekat, Parti Pekerja (WP) yang diketuai Pritam Singh pula memperoleh 10 kerusi dengan mempertahankan kerusi GRC Aljunied dan SMC Hougang, serta menambah GRC Sengkang setelah keputusan muktamad diumumkan pada pagi ini, 11 Julai.

WP memenangi kerusi baharu GRC Sengkang dengan 52.13 peratus undi berbanding 47.87 peratus yang diperoleh PAP.

GRC itu mempunyai 120,166 penduduk yang layak mengundi dan merangkumi bekas kerusi SMC Sengkang West dan SMC Punggol East serta kawasan undi Sengkang Central yang dikeluarkan daripada GRC Pasir Ris-Punggol.

Jabatan Pilihan Raya ( ELD) Singapura mengumumkan keputusan itu setelah proses pengundian ditutup pada pukul 10 malam setelah dilanjutkan dua jam bagi membolehkan pengundi yang beratur panjang di kawasan tertentu mengundi.

Sebanyak 95.63 peratus pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka membabitkan 2,535,565 orang.

Sementara itu, Lee dan pasukannya menguasai GRC Ang Mo Kio dengan memperoleh 71.91 peratus undi berbanding Parti Reform (RP) 28.09 peratus undi. Lee, menjadi anggota parlimen kawasan itu sejak ia dibentuk pada 1991.

Bagaimanapun jumlah undi PAP kali ini iaitu 124,430 lebih rendah berbanding 78.64 peratus yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum 2015, juga menentang RP. Kali ini RP memperoleh 48,600 undi.

Pasukan Pritam Singh pula mempertahankan GRC Aljunied dengan memperoleh 85,603 undi atau 59.93 peratus berbanding PAP 57,244 undi atau 40.07 peratus. Kawasan ini mempunyai 151,007 pengundi.

Related posts

Leave a Comment