ADUN Rahang keluar DAP

SEREMBAN : Keluar DAP tetapi tidak lompat parti. Menjadi wakil Bebas dan tetap sokong kerajaan Pakatan Harapan ( PH) pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan. Itu pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang Mary Josephine Prittam Singh yang mengumumkan keluar DAP, berkuat kuasa serta-merta. 

Pada sidang media mengenai perkara itu hari ini, 10 Julai 2020, ADUN selama dua penggal dan selama 46 tahun sebagai anggota DAP itu membuat keputusan berkenaan kerana kecewa dengan ahli dan pemimpin DAP Negeri Sembilan.

“Sebagai ahli DAP yang berpegang teguh pada integriti serta bekerja berasaskan prinsip dan disiplin parti, saya kini berdepan dengan cabaran yang tidak mampu lagi hadapi. Saya tiada pilihan melainkan meletak semua jawatan dalam parti dan keluar daripada DAP selaku ahli seumur hidup, berkuat kuasa hari ini,” katanya.

Beliau telah menghantar surat keluar parti itu ke ibu pejabat DAP semalam, dan surat serupa  turut dihantar kepada Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Aminuddin Harun pagi ini.

“Saya akan terus sokong PH kerana saya berada dalam barisan pembangkang sudah lebih 40 tahun. Keputusan saya untuk keluar parti bukan sesuatu yang berlaku hari ini atau semalam, tapi telah saya timbang sejak dua tahun lepas,” tambahnya.

Berdasarkan perkembangan ini, komposisi Dewan Undangan Negeri  Negeri Sembilan ialah PH mempunyai 19 ADUN, 16 daripada Barisan Nasional dan seorang Bebas.

Sementara itu, Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook menyifatkan  tindakan itu menyedihkan dan meminta Mary  menarik balik keputusannya itu.

“Saya harap beliau boleh terus bersama dengan DAP kerana apabila beliau keluar daripada parti, maka parti telah hilang satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

“Bagi saya sesiapa sahaja yang dipilih sebagai wakil rakyat DAP, ada tanggungjawab untuk berkhidmat sehingga akhir penggal,” katanya dalam sidang media bagi mengulas keputusan ADUN itu.

Loke tidak memberikan tempoh masa untuk Mary memikirkan dan menarik balik keputusannya.

Related posts

Leave a Comment