Shabudin jadi timbalan menteri

ANGGOTA Parlimen Tasek Gelugor,  Shabudin Yahaya mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Shabudin melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan, disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Turut hadir pada istiadat itu tiga Menteri Kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali, Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin dan Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof selain Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang) dan Mustapa Mohamed (Ekonomi).

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Shabudin menggantikan Eddin Syazlee Shith yang mengambil alih portfolio Timbalan Menteri Kerja Raya susulan peletakan jawatan Dr Shahruddin Md Salleh.

“Selaras dengan Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Shabudin sebagai Timbalan Menteri Persekutuan,” demikian menurut kenyataan itu.

Shabudin,54, memenangi kerusi Parlimen Tasek Gelugor atas tiket BN -UMNO sebelum melompat keluar UMNO setelah kerajaan BN tumbang. Beliau kemudiannya diterima menjadi anggota Bersatu.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Felcra Berhad pada 14 Mei lepas dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Presiden, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP).

Related posts

Leave a Comment