70 lagi kematian di Indonesia

SINGAPURA mengesahkan 183 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan angka keseluruhan jangkitan 44,983 kes.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan memberitahu, 23 kes merupakan penularan dalam komuniti melibatkan tiga rakyat atau pemastautin tetap dan 20 lagi pemegang pas kerja. Terdapat tiga kes import baharu dan kesemua mereka diarahkan kuarantin di rumah sebaik tiba di Singapura.

Berdasarkan data lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 598 jangkitan sebagai kes import,  1,938  jangkitan dalam komuniti dan 42,264 pekerja asing di asrama. Setakat semalam, sebanyak  40,441 atau 90 peratus pesakit pulih sementara 212 kes sedang dirawat,  dua di unit rawatan rapi.

Setakat ini, terdapat 26 kematian akibat Covid-19.

INDONESIA merekodkan 70 lagi kematian akibat virus Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,241 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto berkata, 1,209 kes baharu  dilaporkan menjadikan kes positif meningkat kepada 64,958 kes.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 13,360 pesakit masih dalam pemantauan.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,053 kes, diikuti Jakarta (649 kes), Jawa Tengah (215), Kalimantan Selatan (202) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Berdasarkan data kematian bagi tempoh 24 jam itu, 33 kematian berlaku di Jawa Timur, 15 kematian di Jawa Tengah dan selebihnya di wilayah laiin.

THAILAND melaporkan lima kes baharu Covid-19, yang  membabitkan warganegaranya yang kembali dari Kuwait, dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas. Jumlah keseluruhan kini 3,195 kes dengan jumlah kematian kekal 58.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata mereka terdiri — empat lelaki dan seorang wanita — tiba di Thailand pada 29 Jun dan ditempatkan di pusat kemudahan kuarantin negeri. 

Setakat ini sejumlah 44 daripada 293 warga Thailand yang kembali dari Kuwait menjalani 14 hari kuarantin diuji positif. Thailand melaporkan 3,195 kes di mana 3,072 daripadanya telah sembuh dan keluar dari hospital manakala 65 masih menjalani rawatan.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang hari ini, 6 Julai 2020, melaporkan 2,099 kes baharu yang meliputi 1,258 kes terkini dan 841 kes lewat. Dengan pertambahan kes itu, jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 46,333.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga mengumumkan sebanyak 243 kes sembuh yang membawa jumlah keseluruhan pesakit sembuh kini 12,185 orang

Jumlah kematian pula meningkat kepada 1,303 kes dengan enam kematian baharu dilaporkan.

Related posts

Leave a Comment