Majoriti BID disebabkan Delta

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Majoriti kes kematian Covid-19 di luar hospital (BID) di negara ini adalah disebabkan oleh varian Delta, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya aktiviti jujukan genom yang dijalankan mendapati daripada 29 kes BID yang dipilih, sekurang-kurangnya 20 kes dikenal pasti disebabkan oleh varian membimbangkan (VOC) itu.

Katanya, dapatan itu diperoleh hasil aktiviti jujukan genom oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap 52 kes kematian akibat Covid-19 setakat 25 Ogos lalu.

Beliau berkata, dari segi jenis kematian, 23 adalah kematian di hospital, manakala 29 lagi kematian BID.

Daripada jumlah 52 kes ini, 32 dikesan membabitkan VOC, terdiri daripada 25 varian Delta dan tujuh varian Beta.

Sejumlah 20 kes pula adalah varian bukan VOC (termasuk lapan B.1.466.2, enam B.1.524, dua B.1.459, masing-masing satu A.U.2, B.1.36.16, B.1.1354 dan B.6.).

“Menerusi 29 kes BID, sekurang-kurang 20 kes dikenal pasti disebabkan oleh varian Delta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan  Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang bertanya sama ada pesakit yang maut akibat COVID-19 sudah menjalani jujukan genom, dan apakah keputusannya sehingga kini.

Khairy berkata, pemilihan sampel klinikal daripada individu yang meninggal dunia adalah antara kriteria yang digunakan untuk menjalankan ujian jujukan genom bagi mengenalpasti jenis virus Covid-19.

Katanya, IMR mulanya menerima sebanyak 158 kes kematian untuk menjalankan jujukan genom, dengan 24 adalah kematian di hospital dan 134 BID.

Related posts

Leave a Comment