Kemenangan BN bukan kejutan

BUKANLAH satu kejutan apabila Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dengan kemenangan besar pada pilihan raya kecil (PRK) DUN itu semalam, 4 Julai 2020. Tidak keterlaluan jika dikatakan tidak ada apa yang boleh dibanggakan kerana kemenangan itu sudah dijangka, cuma tumpuan ramai sejauh mana majoriti yang diperoleh dan memastikan dua calon Bebas hilang wang pertaruhan.

BN tidak berhadapan dengan calon pembangkang yang sepatutnya bertanding walaupun BN lebih layak diberi kemenangan percuma bagi menyelamatkan kos PRK serta tidak membazirkan masa, tenaga dan wang parti politik. PRK itu dikatakan melibatkan kos RM4.3 juta. Apa pun atas nama demokrasi, PRK tidak dapat dielakkan tetapi pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) tidak menyambut PRK itu walaupun PKR Pahang awal-awal lagi menegaskan tidak akan memberi kemenangan percuma kepada BN.

Tanpa pembangkang, dan dengan jentera pilihan raya yang ada, calon BN Mohd Sharim Md Zain, 41, menang mudah dengan majoriti 12,650, selepas memperoleh 13,872 undi, manakala pencabarnya Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, mendapat 137 undi. Undi Tengku Zainul Hisham mengatasi undi diperoleh calon PKR semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Majoriti undi akan berubah jika PH turun ke gelanggang. Tak kiralah sama ada PKR, DAP atau Amanah. Semalam, majoriti Mohd Sharim itu melebihi dua kali ganda daripada yang diraih penyandangnya sebelum ini Abu Bakar Harun iaitu 4,622 undi pada PRU14. DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi.

Ini merupakan kemenangan keenam BN daripada 11 PRK yang diadakan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018. BN sebelum ini menang di Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai dan Parlimen Kimanis.

PH menjelang penamaan calon memutuskan PKR tidak meletakkan calon. Bagaimanapun PH yang ‘menyerah diri’ dan mengosongkan Putrajaya selepas 20 bulan menjadi kerajaan tidak mampu memberi alasan kukuh untuk tidak menyertai PRK itu. PKR bukan risau dengan kekalahan tetapi risau terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan penularan wabak Covid-19. Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata, PKR juga berpandangan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan berkaitan perjalanan PRK itu, akan memberi kesan pada cara berkempen dan gerak kerja yang penting dalam pilihan raya.

“Contohnya, larangan lebih daripada 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara lain yang penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihan raya,” kata Saifuddin bagi mewajarkan keputusan PKR, komponen utama PH.

Hakikatnya, jika itu kerusi PH, apa pun SOP yang mendatang, pastinya ada calon mewakili PH sama ada PKR, Amanah atau DAP. Bak kata orang membujur lalu melintang patah. Hakikatnya semua orang tahu dan faham kenapa PKR tidak bertanding. Bukan salah Najib. Sepatutnya Amanah mengambil kesempatan untuk menawarkan diri seperti dilakukan Pas di Port Dickson apabila UMNO tidak bertanding. Sekurang-kurangnya Amanah boleh menguji sokongan di kerusi yang calon Pas peroleh undi lebih besar berbanding PKR pada PRU lalu.

Keputusan ‘pembangkang’ tidak bertanding pada PRK bukanlah sesuatu yang luar biasa. Contohnya BN (pembangkang) di PRK Penanti, Pulau Pinang pada 31 Mei 2009 tidak meletak calon selepas ADUN PKR meletak jawatan. Begitu juga pada 13 Oktober 2018 di Port Dickson, BN tidak meletak calon apabila kerusi itu dikosongkan PKR untuk memberi laluan kepada bakal Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Ketika itu pendirian BN lebih kepada ‘protes’ kerana PRK disengajakan, bukan kosong akibat wakil rakyatnya sakit, meninggal dunia, muflis atau disumbat ke dalam penjara. Sebaliknya keputusan PKR tidak bertanding di Chini lebih kepada ‘mengukur baju di badan sendiri’. Ini kerana Chini merupakan kubu BN di bawah Parlimen Pekan yang diwakili mantan Perdana Menteri Najib Razak. Menang atau kalah kerusi itu tidak menjejaskan BN dan tidak ‘menguntungkan’ PKR kecuali jika DUN Chini itu berada di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor atau Selangor.

PKR atau PH tentunya sedar bahawa BN mempunyai peluang lebih baik kerana kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional. Jika diselak kembali keputusan DUN Chini semasa PRU lalu, BN mempunyai sokongan 10,027 pengundi, Pas 5,405 undi dan PKR 1,065 undi. Maknanya gabungan undi BN dan Pas jika kekal, kekalahan tetap menjadi milik PH.

Apa pun, sekurang-kurangnya PRK Chini memberi ruang pemimpin politik terutama dari BN dan Pas dari seluruh negara bertemu sama ada untuk berkempen atau ‘memeriahkan’ suasana. Paling tidak bagi ‘memanaskan jentera PRU’ yang dikatakan semakin hampir. Dan ini juga kali pertama PRK ketika BN dan Pas menganggotai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

PH pula terlepas peluang untuk menguji sokongan walaupun berjaya menyelamatkan kos, tenaga dan masa untuk berkempen. Adakah strategi PH atau PKR betul? Mungkin, lebih baik menyerah dahulu sebelum tewas di gelanggang bekas Perdana Menteri yang sering dipersalahkan. Setakat ini belum kedengaran Najib dipersalahkan berikutan kemenangan BN itu.

Bagi BN khususnya UMNO pula tidak perlu terlalu selesa dengan kemenangan ini kerana ujian sebenar belum tiba. Masih banyak cabaran yang perlu dihadapi menjelang PRU akan datang.

Related posts

Leave a Comment