Indonesia catat 3,171 kematian

INDONESIA merekodkan 82 lagi kematian akibat virus Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas,  menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,171 orang.

Kes positif virus itu juga meningkat kepada 63,749 kes, iaitu pertambahan 1,607 kes baharu dalam tempoh berkenaan.

Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia melaporkan bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini, 5 Julai, sebanyak 13,767 pesakit masih dalam pemantauan.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,020 kes, diikuti Jakarta (649 kes), Kalimantan Selatan (200), Jawa Tengah (200), Sulawesi Selatan (199) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Kes kematian terbaharu itu melibatkan masing-masing 24 kes di Jawa Timur dan Sulawesi Selatan, 15 di Jawa Tengah dan selebih di wilayah lain di republik ini.

SINGAPURA melaporkan 136 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam , menjadikan jumlah kes di republik itu sebanyak 44,800 kes.

Mengikut data ringkas setakat tengah hari ini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH), terdapat 18 kes dalam komuniti dengan enam ialah rakyat tempatan atau penduduk tetap dan 12 merupakan pemegang pas kerja.

Sehingga tengah hari Sabtu,  40,117 atau kira-kira  90 peratus pesakit telah sembuh sepenuhnya. Terdapat  204 kes disahkan masih dirawat di hospital sehingga semalam, dengan dua kes dirawat di unit  rawatan rapi.

Menurut kenyataan itu, 4,317 pesakit mengalami gejala ringan atau sihat dari segi klinikal tetapi diuji positif  Covid-19 telah diasingkan dan ditempatkan di kemudahan komuniti. Sehingga kini,  26 individu meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 5 Julai 2020 merekodkan 2,434 kes Covid-19 yang meliputi 1,147 kes terkini (keputusan ujian diserahkan kepada pesakit dalam tempoh tiga hari lepas) dan 1,287 kes lewat (keputusan ujian dalam temph empat hari atau lebih).

Menurut Jabatan Kesihatan (DOH) pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 44,254 manakala tujuh lagi kematian dilaporkan yang membawa jumlah kes maut 1,297.

DOH juga mengumumkan sebanyak 489 pesakit pulih yang membawa jumlah keseluruhan kes sembuh 11,942.

THAILAND merekodkan lima kes baharu Covid-19, yang kesemuanya melibatkan rakyat negara itu yang dikuarantin di Bangkok selepas pulang dari luar negara.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), mereka terdiri daripada dua yang pulang dari Kuwait dan satu masing-masing dari Amerika Syarikat, India dan Jepun. Mereka yang diuji pada Khamis (dari Jepun) dan Jumaat tidak menunjukkan sebarang simptom.

Hari ini merupakan hari ke-41 Thailand tidak mempunyai kes penularan tempatan.

Setakat ini, jumlah keseluruhan kes adalah 3,190 manakala kematian kekal 58. Jumlah kes pulih pula 3,071 termasuk lima yang sembuh hari ini. Sebanyak 61 lagi pesakit sedang dirawat.

Related posts

Leave a Comment