Hukum AP lompat parti

MAJLIS Bertindak NGO Malaysia (MYNAC) menyarankan supaya kerajaan mewujudkan undang-undang untuk menghukum mana-mana Ahli Parlimen yang melompat parti demi kepentingan peribadi.

Presiden MYNAC, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, ia perlu berasaskan undang-undang Pilihan Raya Umum (PRU) selain diwartakan dalam kadar segera.

Kataya, perlu ada sekatan dan penggubalan akta bagi kesalahan Ahli Parlimen yang melakukan penganiayaan ini yang membolehkan kemudaratan kepada kerajaan dan merugikan bagi kepentingan awam.

“Ia merupakan jenayah kolar putih dan perlu ditafsirkan sebagai salah laku yang mahu menjatuhkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, perkembangan politik kian tidak stabil dan selain permasalahan rakyat serta ekonomi yang kian meruncing.

“Suara dan keluhan rakyat yang dilontarkan kepada wakil rakyat sudah semakin hilang kepercayaan. Ini menyebabkan situasi pincang dan ketidakstabilan dalam urus tadbir bagi sesebuah kerajaan yang telah memenangi PRU yang lepas.

“Sekalipun kemenangan oleh wakil rakyat pada setiap PRU di negara ini, kerajaan yang dibentuk kian rapuh dan goyah akibat perseteruan dan persengketaan ahli-ahli politik di negara ini.

“Ini menjadikan trend penukaran dan status melompat parti kini berleluasa,” tegasnya.

Beliau berkata, apa yang rakyat mahu adalah wakil yang bersifat dinamik, agresif dan berkarisma dalam membela kehidupan mereka.

“Mereka mahukan suara rakyat dibawa ke Parlimen untuk diperdengarkan serta diberikan perkhidmatan yang cekap, amanah dan jujur dalam memperjuangkan nasib rakyat.

“Namun, apa yang dapat dilihat seperti satu hukuman kepada rakyat akibat kecuaian dan ketidakupayaan serta tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen di dalam situasi politik semasa,” tegasnya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Muhammad Asri Mohd Ali berkata, satu akta yang mampu menyekat masalah lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu digubal.

Langkah itu katanya penting bagi memastikan mandat rakyat tidak dikhianati sesuka hati oleh pemimpin politik.

Menurut beliau, penggubalan undang-undang yang jelas mampu menyekat Ahli Parlimen dan ADUN daripada berbuat demikian, atas alasan kebebasan demokrasi.

“Kalau kita lihat kepada kesan kepada tindakan tersebut (lompat parti), kita menjadi bahan ketawa di seluruh dunia kerana mandat rakyat kelihatannya tidak dipedulikan, kita tidak memberi kuasa semula kepada rakyat apabila pemimpin-pemimpin ini membuat keputusan tidak seperti yang dijanjikan sewaktu mereka mahukan mandat rakyat dahulu,” katanya.

Terdahulu, satu perbincangan meja bulat berhubung kestabilan politik dan Perlembagaan berlangsung di pejabat Sekretariat MPN, dekat Kajang.

Related posts

Leave a Comment