1 import, tiada kes tempatan

HANYA satu kes positif Covid-19 dan tiada kes penularan tempatan. Ini kali pertama sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Kes tunggal yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari 1 Julai 2020 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaru itu membawa maksud bahawa buat kali pertama tiada kes penularan dalam negara dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,640 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 144 kes.

“Ingin dimaklumkan bahawa satu kes baharu yang dilaporkan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara,” katanya.

Kes tunggal yang direkodkan itu melibatkan seorang warganegara Malaysia berusia 21 tahun  yang baru pulang dari Turki. Dia tidak menunjukkan sebarang gejala ketika diperiksa sebelum ini.

Secara keseluruhan, rakyat Malaysia dan pemastautin tetap Malaysia yang pulang dari luar negara dan dikesan positif Covid-19 adalah seramai 626 orang.

 

 

Related posts

Leave a Comment