Polis pantau pematuhan SOP

KELONGGARAN tidak bermakna bebas melakukan apa sahaja. Justeru jangan ambil mudah terhadap peraturan yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Ingat, pasukan keselamatan masih menjalankan tugas mereka.

Buktinya, pada hari ke-21 PKPP, polis menahan 55 individu termasuk pengunjung pusat hiburan dan rumah urut atas kesalahan ingkar PKPP di mana 11 individu direman manakala 44 lagi dikenakan kompaun.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 12 individu ditahan di pusat hiburan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Enam lagi ditahan di pusat refleksologi atau rumah urut, diikuti aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (29 orang) dan aktiviti yang melanggar SOP lain (enam orang).

“Pihak polis akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana yang ingkar mematuhi SOP PKPP ini,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya pada 1 Julai 2020.

Ismail Sabri, berkata, pasukan petugas khas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 61,262 pemeriksaan pada Selasa bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

Beliau memberitahu, pihak penguat kuasa turut memeriksa 4,087 tempat ibadat serta 1,632 pusat riadah.

“Selain itu, sebanyak 3,896 pasar raya, restoran (5,574 premis), penjaja (1,068 premis), kilang (972) dan pasar tani atau awam (1,625) diperiksa,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 9,067 operasi sanitasi merangkumi 134 zon setakat 30 Jun 2020.

Related posts

Leave a Comment