Indonesia catat 57,770 kes

SINGAPURA melaporkan 215 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 10 kes dalam komuniti menjadikan jumlahnya 44,122 kes.

Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan bahawa kes komuniti melibatkan enam rakyat Singapura atau penduduk tetap dan empat pemegang pas pekerja.

Manakala empat kes import, yang kesemuanya diberi Notis Duduk-Rumah atau diasingkan sebaik tiba di Singapura. Yang lain kes baharu melibatkan pekerja asing yang mendiami asrama, demikian menurut kementerian itu.

Setakat tengah hari semalam, 38,500 atau kira-kira 88 peratus daripada 43,907 jumlah keseluruhan pesakit telah pulih. Terdapat 215 kes disahkan masih di hospital dengan satu di unit rawatan rapi. Setakat ini, 26 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

INDONESIA mencatatkan 1,385 kes positif Covid-19 bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kes 57,770 manakala kematian meningkat kepada 2,934 termasuk 58 kematian baharu.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, sebanyak 13,296 pesakit masih dalam pemantauan.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 926 kes diikuti provinsi Jakarta (632 kes), Kalimantan Selatan (190), Jawa Barat (177) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu, Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) bagi fasa transisi atau pemulihan di provinsi Jakarta, dilanjutkan untuk tempoh 14 hari lagi.

THAILAND mencatatkan dua kes baharu Covid-19 yang melibatkan dua pekerja lelaki yang baru pulang dari Kuwait menjadikan jumlah kes 3,173. Mereka tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada Isnin.

Kedua-duanya, 47 dan 48 tahun mempunyai simptom batuk dan demam yang kemudiannya didapati positif pada hari yang sama. Setakat ini, daripada 293 warga Thailand yang pulang dari Kuwait, 36 terkena jangkitan.

Sementara itu, 3,059 kes pulih termasuk tiga yang sembuh dalam tempoh 24 jam dan 56 lagi masih dirawat di hospital. Jumlah kematian pula kekal 58.

FILIPINA setakat pukul 4 petang 1 Julai 2020, merekodkan 999 kes jangkitan Covid-19 – 595 kes terkini, 404 lewat lapor – menjadikan jumlah keseluruhan kes 38,511.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga melaporkan 205 pesakit pulih yang membawa jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 10,438. Jumlah kematian pula meningkat kepada 1,270 termasuk empat kes yang dilaporkan hari ini.

Related posts

Leave a Comment