Masjid, surau ‘dibuka’ 3 Julai

MULAI 3 Julai 2020, semua masjid dan surau di Selangor dibuka untuk solat jemaah lima waktu dan Jumaat (masjid dan surau Jumaat) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun jumlah dan bilangan jemaah ditetapkan 1,000 orang bagi

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Bagi masjid lain kehadiran jemaah ditetapkan maksimum 500 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, tertakluk kepada kapasiti masjid berkenaan.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah hari ini, 1 Julai 2020, Sultan Selangor telah memberi perkenan itu selepas mengambil maklum perkembangan terbaharu wabak Covid-19.

Bagi kehadiran jemaah di surau kebenaran solat Jumaat bagi mendirikan solat Jumaat dan solat fardhu ditetapkan 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

Begitu juga bagi kehadiran jemaah di surau untuk solat fardhu ditetapkan 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

Mengenai ibadah korban, Sultan Selangor menitahkan agar ibadah itu hanya dilaksanakan di masjid-masjid.

“Bagi surau yang telah merancang melakukan ibadah korban, boleh melaksanakannya di masjid berdekatan,” kata kenyataan itu.

Baginda juga menitahkan agar setiap jemaah wajib mematuhi SOP yang ditetapkan khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka (face mask) ketika hadir di masjid dan surau serta mengamalkan penjarakan sosial.

Bagi mereka yang tidak sihat dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di masjid dan surau.

Related posts

Leave a Comment