Tiada kes tempatan di Thailand

INDONESIA merekodkan 1,240 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 51,427 kes dengan jumlah kematian meningkat kepada 2,683 berikutan 63 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, sebanyak 13,506 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Katanya, Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 796 kes, diikuti provinsi Jakarta (616 kes), Kalimantan Selatan (178), Jawa Barat (173) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Jawa Timur terus mencatatkan peningkatan kes positif dan kematian mendadak, sejak Ramadan lepas, dipercayai akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung menyambut perayaan Aidilfitri lepas.

Jawa Timur mencatatkan kes positif kedua tertinggi selepas Jakarta (10,591) iaitu 10,545 kes, tambahan 356 kes baharu dan 32 kematian bagi tempoh 24 jam lepas.

SINGAPURA mengesahkan tambahan 219 kes jangkitan Covid-19 dengan enam daripadanya melibatkan kes dalam komuniti menjadikan jumlah kes jangkitan 42,955 kes.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menyatakan daripada enam kes tersebut, lima melibatkan warganegara atau penduduk tetap dan seorang lagi melibatkan pemegang pas kerja.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Khamis, Singapura mengklasifikasikan 1,840 kes sebagai kes berkaitan komuniti, 581 kes import dan 40,316 melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Setakat tengah hari 25 Jun 2020, sebanyak 36,604 atau kira-kira 86 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit telah sembuh sepenuhnya manakala 189 kes masih berada di hospital pada Khamis dengan seorang berada di dalam keadaan kritikal di pusat rawatan rapi (ICU).

Setakat ini 26 kematian telah dicatatkan akibat komplikasi Covid-19.

THAILAND merekodkan empat kes baharu melibatkan  warganegaranya yang pulang dari luar negara menjadikan jumlah keseluruhan 3,162 kes dengan kematian kekal 58 kes.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata empat pesakit itu berusia antara 22 hingga 53 tahun, masing-masing dua tiba dari Sudan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Hari ini juga 26 Jun, menandakan 32 hari tanpa jangkitan tempatan dalam negara.

Sejak 3 April, sejumlah 46,569 warga Thailand pulang dari luar negara dan menjalani kuarantin selama 14 hari di kemudahan kesihatan negara itu dan sejumlah 225 atau 0.48 peratus diuji positif Covid-19.

FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 26 Jun 2020, melaporkan peningkatan jumlah kes Covid-19 kepada 34,073. Ini berikutan penambahan 1.006 kes yang dilaporkan hari ini iaitu 788 kes terkini dan 218 lewat dilaporkan.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga mengumumkan 274 kes pemulihan yang membawa jumlah keseluruhan kes sembuh 9,182.

Sebanyak 12 kematian dilaporkan menjadikan jumlah kes yang meninggal dunia sebanyak 1,224.

Related posts

Leave a Comment