Nikah di zon hijau sahaja

SHAH ALAM: Solat Jumaat dan majlis akad nikah di Selangor ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya boleh diadakan di zon hijau, iaitu Sabak Bernam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata,

jemaah Solat Jumaat dihadkan kepada 23 orang pegawai dan ahli jawatankuasa bagi masjid dan 16 orang pegawai dan ahli jawatankuasa bagi surau Jumaat.

“Jumlah yang sama juga dibenarkan bagi mendirikan solat fardu lima waktu dengan had kehadiran 23 orang jemaah di masjid dan 16 orang jemaah di surau dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Shahzihan berkata bagi zon kuning dan merah, JAIS memutuskan untuk tidak membenarkan Solat Jumaat dilaksanakan di masjid dan di surau kebenaran Jumaat.

“Hanya enam orang jemaah sahaja dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa dibenarkan untuk mendirikan solat fardu lima waktu di masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau.

“Semua majlis akad nikah di masjid dan PAID yang dibenarkan sebelum ini, ditangguhkan bagi daerah yang dikategorikan zon kuning dan zon merah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment