5 kes import, 1 saringan kerja

ENAM kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan pada Jumaat, 26 Jun 2020 menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 8,606, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah itu, tiada penularan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara dilaporkan.

Lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

Satu kes penularan di dalam negara pula adalah warganegara Malaysia, iaitu kes saringan tempat kerja di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Malaysia mencatatkan sifar kes kematian selama 12 hari beturut-turut dan jumlah kumulatif kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes iaitu 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, genap 17 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan bermula 10 Jun 2020, antara pencapaian Kementerian Kesihatan (KKM) ialah membawa Malaysia menjadi antara negara yang tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN bagi kadar penyembuhan kes COVID-19.

Turut tercatat :

  • Kes baharu Covid- 19 harian telah mencapai satu angka selama empat hari berturut-turut mulai 23 Jun 2020.
  • Kes harian penularan di dalam negara di kalangan warganegara Malaysia adalah kurang daripada lima kes bagi enam hari berturut-turut.
  • Kadar penyembuhan kes Covid-19 di Malaysia (iaitu 96.4 peratus) adalah di antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.
  • Kadar kematian Covid-19 di Malaysia juga merupakan di antara yang paling rendah di seluruh dunia (iaitu 1.41 peratus).
  • Tiada kes kematian Covid-19 dilaporkan sejak 12 hari yang lalu. Justeru, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 semakin menurun setiap hari.
  • Untuk pertama kalinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kes aktif adalah kurang daripada 200 pada hari ini.

Related posts

Leave a Comment