Kes baharu Indonesia 1,051

INDONESIA menambah 1,051 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 47,896 kes.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 35 lagi kematian berlaku menjadikan jumlah keseluruhan kematian setakat ini 2,535 orang.

Sebanyak 13,348 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 741 kes, diikuti provinsi Jakarta (594 kes), Jawa Barat (171), Kalimantan Selatan (167) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

SINGAPURA mengesahkan 119 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lepas dengan majoritinya adalah pekerja asing yang tinggal di asrama. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes mencecah 42,432 kes. 

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), terdapat tiga kes baharu di dalam komuniti tempatan, seorang daripada mereka ialah pemastautin tetap dan dua lagi pemegang pas kerja.

Setakat tengah hari semalam, 35,590 atau 84 peratus daripada jumlah pesakit sudah pulih sepenuhnya sementara 200 kes di hospital dengan seorang daripadanya dalam keadaan kritikal  Setakat ini, 26 orang meninggal dunia.

THAILAND melaporkan lima kes baharu jangkitan, semuanya melibatkan warga Thai yang baru kembali dari luar negara, dan tiada kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 3,156 kes dengan jumlah kematian 58.

Ini merupakan hari ke-29 tanpa jangkitan tempatan baharu dilaporkan di Thailand.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Semasa Situasi Covid-19 (CSSA) Thailand Dr Panprapa Yongtrakul dalam sidang media harian berkata lima pesakit asimpomatik yang berumur antara 22-52 tahun itu baru kembali dari Mesir dan Qatar.

Setakat ini, 75 pesakit masih dirawat di hospital.

FILIPINA setakat pukul  4 petang hari ini, 23 Jun 2020, melaporkan 1,150 kes positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 31,825.kes. Ia melibatkan 789 kes terkini dan 361 kes lewat lapor. Kes terkini berdasarkan laporan pencapaian harian yang dihantar oleh 43 daripada 59 makmal yang beroperasi.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga mengumumkan 299 pemulihan yang membawa jumlah keseluruhan pemulihan kepada 8,442.

Sebanyak sembilan kematian dilaporkan menjadikan jumlah kes 1,186.

Related posts

Leave a Comment