Pantau guna dexamethasone

GENEVA: Steroid dikenali sebagai dexamethasone yang didakwa membantu menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 yang serius wajar digunakan untuk mereka yang benar-benar memerlukannya.

Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Michael Ryan menegaskan dexamethasone bukanlah ubat yang merawat virus berkenaan, justeru penggunaannya adalah di bawah pemantauan pakar perubatan.

“Ini adalah ubat anti keradangan yang sangat kuat, ia boleh menyelamatkan nyawa mereka yang berada dalam keadaan serius, apabila paru-paru dan sistem kardiovaskular mereka mengalami keradangan,” katanya.

Ubat ini membolehkan pesakit yang tidak dapat menyuntik oksigen kepada darah dari paru-paru untuk tempoh kritikal. Ia mengurangkan keradangan di peringkat kritikal pesakit dan bukan vaksin.

“Hakikatnya, steroid boleh dikaitkan dengan replika viral,” katanya.

Hasil ujian klinikal oleh saintis Britain menunjukkan dexamethasone boleh membantu mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit serius Covid-19 kepada satu pertiga.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai tidak mengambil dexamethasone sewenang-wenangnya tanpa preskripsi daripada doktor.

Katanya, ubat jenis steroid yang digunakan untuk mengurangkan radang dalam pelbagai penyakit itu mempunyai kesan sampingan dan komplikasi tertentu.

“Saya ingin menyeru orang ramai supaya berwaspada agar tidak menyalahgunakan atau mengambil ubat dexamethasone tanpa preskripsi daripada doktor. Ini kerana ubat ini juga mempunyai kesan sampingan dan perlu diimbangi dengan keperluan penggunaan ubat ini bagi penyakit-penyakit tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu, hasil dapatan awal recovery trial menunjukkan ubat tersebut dapat mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit Covid-19 yang mempunyai gejala pernafasan yang serius, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.

Meskipun begitu katanya, ujian klinikal itu mendapati ubat ini tidak membantu dalam rawatan pesakit Covid-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.

Baru-baru ini, kumpulan penyelidik yang diketuai pasukan dari Universiti Oxford itu menilai keberkesanan ubat berkenaan yang diberikan kepada lebih 2,000 pesakit Covid-19 yang tenat.

Hasilnya, dexamethasone itu dipercayai membantu menyelamatkan satu pertiga daripada kes paling serius, berdasarkan keputusan percubaan yang dianggap sebagai penemuan terbesar dalam usaha memerangi wabak berkenaan.

Kumpulan itu mendapati, pemberian dexamethasone kepada pesakit yang hanya boleh bernafas dengan bantuan ventilator didapati mampu mengurangkan risiko kematian kepada 35 peratus dan mereka yang menerima bantuan oksigen pula, kadar kematian dapat dikurangkan kepada satu perlima.

Malah, mereka juga mendakwa dexamethasone adalah ubat pertama yang berjaya membuahkan hasil dalam menyelamatkan pesakit Covid-19 setakat ini.

Related posts

Leave a Comment