Tidak semua masjid dibuka

LEBIH banyak masjid di Selangor akan dibuka esok untuk solat Jumaat dan berjemaah tetapi dengan bilangan jemaah mengikut ketetapan yang diputuskan

Begitu juga dengan ibadah korban semasa Hari Raya Aidiladha yang terbatas kepada masjid yang disenaraikan sahaja.

Menurut kenyataan akhbar Sultan Selangor, keputusan pembukaan masjid secara berperingkat itu meliputi solat Jumaat dan solat berjemaah  Subuh, Maghrib dan Isyak dibenarkan di 39 buah masjid yang  ditetapkan sebelum ini  dengan tambahan masjid di mukim seluruh Selangor yang dikategorikan zon hijau.

Mengenai Solat Jumaat, jumlah jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), ditambah daripada 40 kepada 250 orang manakala di 38 buah masjid yang dibenarkan sebelum ini ditambah kepada 150 orang. Jumlah ini  tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid.

Bagi masjid  di dalam mukim yang sebagai zon hijau dihadkan seramai 40 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid.

Pelaksanaan Solat berjemaah bagi Solat Subuh, Maghrib dan Isyak, kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat fardhu itu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) dihadkan 250 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid.

Jumlah jemaah bagi tiga waktu solat fardhu berjemaah di 38 masjid yang dibenarkan sebelum ini dihadkan seramai 150 orang manakala  di Masjid-masjid di seluruh Negeri Selangor di dalam mukim yang dikategorikan sebagai zon hijau dihadkan seramai 40 orang .

Semua surau di seluruh Selangor termasuk Surau Jumaat tidak dibenarkan untuk dibuka melainkan tiga orang Pegawai Surau yang dibenarkan untuk solat fardhu seperti yang ditetapkan terdahulu.

Baginda menitahkan agar setiap jemaah wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak JAIS khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, pemakaian pelitup muka (face mask) ketika hadir di Masjid dan mengamalkan penjarakan sosial.

Sultan Selangor juga menitahkan pelaksanaan ibadah korban dilakukan di kawasan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam, 38 buah masjid yang dibenarkan sebelum ini serta masjid di seluruh Negeri Selangor di dalam mukim yang dikategorikan sebagai zon hijau.

Ibadah korban tidak boleh dilakukan di surau-surau dan orang ramai digalakkan untuk melakukan korban di kawasan masjid-masjid yang dibenarkan.

Related posts

Leave a Comment